Home Nasional Lebih cepat terima vaksin, kesihatan lebih terjamin, kata PM

Lebih cepat terima vaksin, kesihatan lebih terjamin, kata PM

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin bercakap kepada media selepas menerima suntikan dos ke dua vaksin Pfizer-BioNTech di Klinik Kesihatan Presint 18, Putrajaya.Foto FIKRI YAZID, 17 MAC 2021.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta  rakyat Malaysia segera mendaftarkan untuk menerima vaksin Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera.

Beliau yang selesai mendapatkan suntikan dos kedua vaksin berkenaan pada hari ini berkata, kesihatan seluruh rakyat dalam negara akan lebih terjamin selepas menerima vaksin.

Dalam masa sama menurutnya, ekonomi negara akan dapat dipulihkan sekiranya kehidupan rakyat lebih terjamin selepas   menerima vaksin.

“Saya mohon dan merayu sekali lagi supaya seluruh rakyat Malaysia dan bukan rakyat yang  berada di Malaysia dengan seberapa segera mendaftarkan diri dalam MySejahtera.

“Lebih cepat mereka mendapat suntikan lebih terjamin kesihatan mereka dan mungkin dengan cara begitu kita dapat menurunkan kes Covid-19 di negara kita, sekali gus boleh memulihkan kehidupan kita seperti sedia kala dan juga ekonomi seberapa cepat akan boleh pulih,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas selesai menerima dos kedua vaksin Covid-19 di Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Putrajaya, Presint 18, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Tambah Muhyiddin, setakat ini lebih 5.6 juta orang telah mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 melalui sistem MySejahtera.

Justeru beliau berharap agar jumlah rakyat yang mendaftar menerusi aplikasi berkenaan bertambah setiap hari.

“Sepatutnya jumlah yang mendaftar akan bertambah setiap hari,” katanya lagi.

Terdahulu beliau memaklumkan tidak menghadapi kesan sampingan selepas 30 minit menerima vaksin koronavirus.

Sebaliknya Muhyiddin yakin tahap imuniti badannya akan bertambah.

“Selepas lebih 30 minit saya tidak ada rasa yang luar biasa jadi saya yakin ini akan tambah lagi antibodi dalam badan saya untuk menghadapi sekiranya ada virus Covid-19.

“Jangan bimbang tidak sakit apa pun,” katanya lagi.

Muhyiddin merupakan individu pertama menerima suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama di negara ini pada 24 Febuari lalu.

Sehingga 16 Mac ,lepas, seramai 346,508 orang menerima dos pertama vaksin Pfizer- BioNTech. -MalaysiaGazette