KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini mengumumkan Program Strategik Memperkerkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dengan lima fokus utama melibatkan 20 inisiatif bagi pemulihan serta pemerkasaan negara sepanjang tahun ini.
Lima fokus utama itu adalah mengawal penularan Covid-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi.
“Kini genap setahun negara kita melaksanakan pelbagai bentuk Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP untuk menangani wabak COVID-19.
“Sepanjang tempoh ini, kerajaan terus melakukan apa sahaja yang diperlukan bagi menjamin kesejahteraan rakyat, memastikan kelangsungan perniagaan dan menyokong pemulihan ekonomi,” kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap membentangkan agenda Pemerkasa hari ini.
Menurut Perdana Menteri, pada masa ini, negara sedang berada pada tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi, iaitu ‘Revitalize’ atau Memperkasa ekonomi.
Pada tahap ini, katanya, strategi pemulihan ekonomi ditumpukan kepada usaha untuk merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi, atau jump-start the economy.
Menurut Muhyiddin, bagi fokus pertama Pemerkasa iaitu mengawal penularan Covid-19, kerajaan sedang melaksanakan pelbagai tindakan kesihatan awam untuk membendung pandemik tersebut di samping memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
“Setakat ini, lebih 300,000 rakyat telah pun menerima suntikan pertama vaksin,” katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung.
Menurut Perdana Menteri, bagi fokus pertama, kerajaan akan menaikkan peruntukan bagi program imunisasi daripada RM3 bilion kepada RM5 bilion untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021, berbanding sasaran awal iaitu pada suku pertama tahun 2022.
Katanya, untuk mencapai sasaran itu, seramai 15,000 petugas akan ditempatkan di hampir 950 Pusat Pemberian Vaksin atau PPV di seluruh negara.
Mengambil kira pertambahan tugas tersebut, menurut Muhyiddin, kerajaan bersetuju Bantuan Khas COVID-19 dengan kadar RM200 sebulan dipanjangkan kepada petugas penjawat awam yang terlibat dalam program imunisasi di PPV berkenaan.
– MalaysiaGazette