Home Nasional Bekas pengarah ditahan disyaki beri rasuah

Bekas pengarah ditahan disyaki beri rasuah

Bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) yang baharu ketika tinjauan Malaysia Gazette di Putrajaya. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 13 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang bekas pengarah syarikat yang membekalkan perkhidmatan penyewaan kapal kerana disyaki memberi rasuah sebanyak RM321,350 sebagai imbuhan memberikan sub-kontrak penyewaan kapal dalam kerja-kerja cari gali minyak.

Dalam satu kenyataan SPRM memaklumkan, kejadian berlaku antara 29 Jun hingga 14 Oktober tahun lalu melibatkan nilai keseluruhan projek sebanyak RM1 bilion.

Menurut agensi penguatkuasaan undang-undang itu, lelaki berusia 64 tahun tersebut ditahan petang tadi di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Shah Alam, pagi esok di bawah Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009 (ASPRM 2009) bagi kesalahan memberi suapan untuk mendapatkan kontrak penyewaan kapal.

Sementara itu, seorang pengarah syarikat yang sama turut dipanggil bagi membantu siasatan dan akan dituduh bagi mewakili syarikat tersebut di bawah Seksyen 17A ASPRM 2009 iaitu berkaitan kesalahan liabiliti korporat di mahkamah yang sama, pagi esok.

Ini merupakan kes pertama bagi kesalahan di bawah Seksyen 17A ASPRM 2009 sejak dikuatkuasakan pada 1 Jun lalu, katanya. – MalaysiaGazette

+ posts