Home Nasional Pemerkasa bukti PN prihatin terhadap rakyat

Pemerkasa bukti PN prihatin terhadap rakyat

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi membuat kejutan apabila mengumumkan peruntukan RM20 bilion sebagai usaha terbaharu memulihkan ekonomi negara dan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ketua Badan Pimpinan Negeri, Wilayah Persekutuan (BPNWP) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berkata, menerusi pengumuman itu rakyat yang terkesan dengan wabak tersebut pastinya mampu menarik nafas lega.

Ini kerana, kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa merasai denyut nadi rakyat yang sentiasa prihatin dalam segenap perkara.

“Pengumuman Perdana Menteri itu seolah-olah hadiah buat rakyat selepas kerajaan PN menyambut ulang tahunnya pada minggu lepas.

“Bantuan secara one-off sebanyak RM500 untuk golongan B40 yang hilang pendapatan akibat pandemik Covid-19 sememangnya ditunggu-tunggu dan kesusahan dialami mendapat perhatian kerajaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Suhaimi, slogan Setahun Malaysia Prihatin sememangnya bertepatan dengan pentadbiran kerajaan hari ini dan disebabkan itu rakyat secara keseluruhan harus memberi sokongan yang jitu agar usaha seperti itu dapat berterusan.

Tambahnya, rakyat boleh menilai sendiri bagaimana PN mentadbir negara ketika pandemik tanpa mengabaikan kebajikan rakyat secara keseluruhan.

Datuk Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya

Hari ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan berjumlah RM20 bilion menerusi program strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) membabitkan suntikan fiskal RM11 bilion.

Program tersebut menumpukan kepada 20 inisiatif dalam usaha memulihkan ekonomi negara dan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19. – MalaysiaGazette