PUTRAJAYA – Langkah Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan rundingan dengan UMNO, mungkin disebabkan sudah letih menjadi pembangkang.
Menurut Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Hamzah Zainuddin, Presiden PKR, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa perbincangan mengenai kerjasama diadakan dengan UMNO membuktikan parti itu sudah tidak mahu menjadi pembangkang.
“Kalau PKR (bekerjasama) dengan UMNO, mungkin dia tak nak jadi pembangkang lagi lah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan ‘Bas Mobile’ JPN Generasi Baharu di kementeriannya, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said.
Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Pembangkang itu bahawa beliau tidak menolak kemungkinan parti tersebut akan bekerjasama dengan UMNO.
Pada Selasa lalu, Anwar mendakwa perbincangan tidak rasmi antara partinya dan UMNO diadakan bagi menjalin kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.
Bagaimanapun, Anwar berkata, langkah untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO berada pada peringkat perbincangan.
Malah kerjasama itu akan menjadi kenyataan jika UMNO tekad memutuskan hubungan dengan Bersatu. – MalaysiaGazette