AMSTERDAM – Jerman, Perancis dan negara-negara Eropah yang lain mengumumkan rancangan untuk menyambung semula penggunaan vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca semalam.
Tindakan itu diambil setelah Kesatuan Eropah dan pengawal selia Britain masing-masing meyakini keberkesanan vaksin itu dan menyatakan manfaat vaksin tersebut melebihi risiko.
Sebelum ini, Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) telah melakukan siasatan ke atas 30 laporan kes gangguan darah luar biasa.
Pengarah EMA, Emer Cooke berkata, vaksin AstraZeneca adalah selamat dan berkesan.
“Sekiranya saya diberi pilihan, saya akan mendapatkan vaksin itu esok.” katanya dalam taklimat seperti yang dilaporkan agensi berita, Reuters.
Bagaimanapun, selang beberapa jam kemudian, Jerman menyatakan bahawa ia akan menyambung semula vaksinasi AstraZeneca mulai pagi ini.
Menteri Kesihatannya, Jens Spahn berkata, penggantungan vaksin AstraZeneca yang dilakukan secara berhati-hati merupakan satu keputusan tepat bagi mengkaji kes darah beku dalam otak.
Selain itu, Perdana Menteri Perancis, Jean Castex berkata, negara itu akan menyambung semula penggunaan vaksin tersebut, bahkan akan menerima suntikan pada sebelah petang.
Seterusnya, Perdana Menteri Itali, Mario Draghi berkata, negara tersebut juga akan berbuat demikian dan keutamaan kerajaan adalah untuk memvaksin seramai mungkin penduduk.
Sementara itu, Sepanyol sedang menimbangkan untuk menyambung semula penggunaan vaksin itu manakala Cyprus, Latvia dan Lithuania akan memulakan suntikan vaksinasi.
Untuk rekod, laporan kes luar biasa baru-baru ini mengenai darah beku dalam otak mendorong berpuluh-puluh negara menggantung penggunaan vaksin AstraZeneca. -MalaysiaGazette