PUTRAJAYA – Penyokong bola sepak kini perlu membuktikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selepas dibenarkan kembali ke stadium awal bulan depan.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, penonton sebagaiĀ ‘pemain ke-12’ perlu menyakinkan MKN dan KKM selepas impian mereka kembali ke stadium menjadi realiti.
Jelas beliau, pihaknya sudah bersuara namun memerlukan kerjasama penyokong bola sepak untuk menyakinkan kerajaan selepas ini.
“Saya mahu yakinkan MKN dan KKM bahawa apa yang dikatakan saya kepada mereka ini boleh jadi realiti. Sebab itu saya buat percubaan atau proof of concept (POC) dan bawa mereka untuk lihat sendiri.
“Dalam masa yang sama, saya juga mahu lihat penonton sama ada mereka ini boleh menjaga tingkah laku (mematuhi peraturan). Mereka (penonton) boleh datang dan buktikan. Saya seorang sahaja bercakap dan yakinkan kerajaan tidak cukup,” katanya.
Reezal Merican turut meminta kerjasama peminat sukan berkenaan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dan menunjukkan testimoni yang baik ketika perlawanan berkenaan.
“Jika mereka gagal tunjuk testimoni (yang baik) dan yakinkan pihak MKN, usaha untuk membawa masuk penonton pada perlawanan berikutnya tidak dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata, POC itu sangat penting terutama ketika perjalanan keluar masuk penonton ke stadium ketika perlawanan berlangsung.
“Ada stadium yang mempunyai dua atau tiga pagar serta ada juga pagar yang besar serta boleh buat dua laluan. Jadi semua ini akan diperhalusi oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan KBS (Kementerian Belia dan Sukan).
“Saya akui ia bukan satu benda yang mudah, walaupun 2,000 penonton itu nampak sedikit tetapi bayangkan kalau mereka ini berada dalam keadaan berkelompok. Sudah tentu MKN dan KKM tidak benarkan.
“Perkara ini yang akan diperhalusi namun perjuangan ini tak boleh digalas oleh MFL dan KBS atau pun saya berseorangan, tetapi ia adalah perjuangan bersama,” katanya.
Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan MKN bersetuju membenarkan kehadiran penonton ke stadium atau venue bagi kejohanan sukan seperti Liga Malaysia berkuat kuasa 1 April ini.
Bagaimanapun, ia mestilah mematuhi syarat yang ditetapkan iaitu 10 peratus kapasiti atau 2,000 penonton di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) manakala bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula adalah 25 peratus kapasiti atau 8,000 penonton.
Kedua-duanya membabitkan kawalan penyeliaan sepanjang masa. – MalaysiaGazette