Home Ekonomi Pemerkasa cepatkan proses pemulihan ekonomi – KPDNHEP

Pemerkasa cepatkan proses pemulihan ekonomi – KPDNHEP

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik inisiatif terbaharu kerajaan menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yakin Pemerkasa melengkapkan program dan inisiatif sedia ada seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

Ia sekaligus mempercepatkan  proses  pemulihan ekonomi negara di semua sektor dan industri.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menerusi RM20 bilion serta suntikan fiskal baharu berjumlah RM11 billion untuk 20 inisiatif di bawah Pemerkasa, prestasi keseluruhan ekosistem perdagangan domestik khususnya dalam kalangan peniaga peruncitan, pemborong dan pengedaran akan dapat ditingkatkan.

Ia termasuk pengiktirafan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk mengurangkan beban syarikat yang menghadapi masalah kewangan.

“Mengurangkan beban syarikat yang menghadapi masalah kewangan di mana SSM telah menaikkan nilai ambangan keterhutangan daripada RM10,000 kepada RM50,000.

“Inisiatif ini telah menunjukkan penurunan yang ketara dalam jumlah Petisyen Penggulungan yang diserahsimpan ke SSM bagi tempoh April hingga Disember 2020 berbanding tempoh yang sama pada 2019 dan 2018,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

KPDNHEP ujar Alexander  turut menyokong inisiatif ketiga dalam Pemerkasa iaitu penguatkuasaan perundangan yang ketat dan telus untuk mengawal penularan pandemik Covid-19.

“Kementerian amat menghargai keprihatinan kerajaan yang menggalakkan para majikan membuat ujian pengesanan Covid-19 untuk pekerja mereka dan membenarkan potongan cukai tambahan ke atas kos ujian tersebut.

“Pastinya ramai peniaga peruncitan yang mempunyai ramai pekerja menyambut baik peruntukan ini memandangkan mereka terdedah dalam melaksanakan proses urusniaga,” tambahnya.

Beliau juga yakin para peniaga  perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terlibat dalam industri pembuatan dan pengedaran akan mengalu-alukan Geran Khas Prihatin 3.0 dan Kemudahan Mikro Kredit untuk meningkatkan perniagaan mereka sama ada jualan terus mahupun atas talian.

“KPDNHEP turut menyambut baik peruntukan Pemerkasa bernilai RM 700 juta bagi melanjutkan Program Subsidi Upah 3.0 selama tiga bulan lagi dan ini tentunya melegakan industri borong dan runcit seperti yang disasarkan.

“Pemberian diskaun khas bil elektrik sebanyak sepuluh (10) peratus yang dilanjutkan selama tiga bulan sehingga 30 Jun 2021 pastinya amat membantu kedua-dua industri ini,” tambahnya.-MalaysiaGazette