KUALA LUMPUR – Selebriti terkenal, Neelofa meluahkan kesyukuran selepas kakaknya, Noor Nabila selamat bergelar isteri kepada Engku Emran Engku Zainal Abidin hari ini.
Neelofa menerusi satu kenyataan hari ini memberitahu, dia gembira dengan pernikahan kakaknya dan mendoakan mereka dikurniakan kebahagiaan.
“Hari ini merupakan hari bahagia kakak saya, Noor Nabila. Saya berasa sangat gembira melihat Nabila meraih bahagia dan saya berharap agar kebahagiaan yang dilimpahkan kepadanya akan kekal sampai bila-bila.
“Doa dan harapan saya agar kedua mereka saling melengkapi dan semoga Allah SWT merahmati rumah tangga Nabila dan suami sehingga ke akhir nadi syurga,” katanya.
Sejak semalam, khabar angin mengenai pernikahan pasangan ini hangat diperkatakan dalam laman sosial malah mendapat liputan meluas media di Indonesia.
Menguatkan kenyataan, adik kepada Noor Nabila iaitu Ameera Khan turut memuat naik sekeping foto tertulis walimatul urus kakaknya itu bersama Engku Imran pagi tadi sebelum majlis pernikahan berlangsung.
Emran sebelum ini pernah memberi bayangan hubungan mereka selepas memuat naik sekeping foto menampakkan refleksi wajah Nabila di tempat duduk penumpang bahagian depan.
Sebelum ini, Nabila dan Emran dikatakan mula rapat selepas sering dilihat melakukan aktiviti berbasikal bersama-sama.
Terdahulu, Nabila pernah berkahwin dengan pelakon, Sharnaaz Ahmad namun bercerai Julai tahun lalu selepas hampir setahun berdepan kemelut rumah tangga.
Mereka sebelum ini dikurniakan anak lelaki, Jebat Jayden dan penyatuan ini sekali gus menjadi pernikahan pernikahan ketiga buat Nabila dan Engku Emra.
Sebelum ini, dua perkahwinan terdahulu Engku Emran bersama pelakon popular, Erra Fazira dan pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella berakhir dengan perceraian.
Engku Emran berpisah dengan Laudya pada Julai tahun lalu selepas dua tahun mendirikan rumah tangga dan tidak dikurniakan cahaya mata. – MalaysiaGazette