Home Ekonomi SKMM keluar 77 kompaun, Maxis terima paling terbanyak

SKMM keluar 77 kompaun, Maxis terima paling terbanyak

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin mengingatkan orang ramai agar berhati-hati jika menerima emel yang menggunakan profil pemimpin negara, ketua organisasi atau syarikat yang memberikan arahan di luar daripada kebiasaan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengeluarkan sebanyak 77 kompaun berjumlah RM3.7 juta kepada pemegang-pemegang lesen dalam tempoh suku tahun pertama 2021 di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 68 kompaun yang berjumlah RM3.3 juta telah dikeluarkan kepada syarikat telekomunikasi, Maxis Broadband Sdn. Bhd. (Maxis), menjadikan syarikat telekomunikasi itu penerima kompaun terbanyak pada suku pertama tahun ini.

Menurut SKMM, sebanyak RM3.25 juta daripada jumlah RM3.3 juta kompaun yang dikenakan kepada Maxis adalah
berkaitan kegagalan mematuhi rancangan penomboran dan pengalamatan elektronik dan selebihnya kerana ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir.

SKMM berusaha memastikan syarikat-syarikat telekomunikasi mengutamakan hak pengguna termasuk memastikan kebebasan
pengguna untuk memilih perkhidmatan telekomunikasi yang dikehendaki mereka, selaras dengan Ikrar Mesra Pelanggan yang
dimeterai oleh syarikat-syarikat telekomunikasi pada pertengahan Jun 2019, yang mengikat komitmen mereka untuk melaksanakan langkah penambahbaikan bagi memberikan pengalaman terbaik kepada pengguna.

SKMM turut mengenakan tujuh kompaun berjumlah RM350,000 kepada syarikat U Mobile Sdn. Bhd. atas ketidakpatuhan kepada Garis Panduan Prabayar bagi pendaftaran pengguna akhir.

Selain itu, Sistem Televisyen Malaysia Berhad dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) pula masing-masing dikenakan satu kompaun yang berjumlah RM40,000 dan RM20,000 kerana kegagalan mematuhi syarat-syarat lesen yang ditetapkan. – MalaysiaGazette