Home Seni Hidup Rentas negeri untuk bulan madu, usahawan wanita dikecam warganet

Rentas negeri untuk bulan madu, usahawan wanita dikecam warganet

Pasangan suami isteri yang didakwa melakukan pergerakan rentas negeri untuk berbulan madu tular di laman sosial.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang usahawan muda bersama suaminya yang dipercayai merentas negeri semata-mata untuk berbulan madu tular di laman sosial sejak semalam.

Menerusi beberapa keping gambar dan klip video pendek di Twitter, wanita itu mendakwa dia sudah mendapat kebenaran pihak polis untuk melakukan pergerakan rentas negeri.

Bagaimanapun, rata-rata warganet tidak berpuas hati dengan tindakan wanita tersebut yang dianggap mementingkan diri selain mencetuskan pertikaian kerana menggunakan alasan rentas negeri untuk berbulan madu.

Dalam masa sama, beberapa warganet turut menyatakan kekecewaan apabila mereka tidak dapat merentas negeri atas hal-hal kecemasan sementara wanita tersebut bersama suami dilihat berlibur.

Difahamkan, usahawan produk berasaskan inai yang berusia 20-an itu melakukan pergerakan dari Kuala Lumpur ke Pulau Perhentian di Terengganu.

Kesemua gambar dan klip video yang menjadi tular merupakan perkongsian wanita itu sendiri di ruangan insta stories miliknya sebelum salah seorang pengguna memuat naik di Twitter dan diulang ciap sehingga 11,000 kali.

Sebagai rekod, Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak kekal berstatus Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi tempoh 19 hingga 31 Mac dengan Sarawak bermula 16 hingga 29 Mac.

Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, aktiviti merentas negeri masih dilarang di seluruh negara kecuali melalui gelembung perjalanan yang diuruskan sektor pelancongan. – MalaysiaGazette