Home Nasional Peguam tipu RM600,000 pelaburan rumah dicekup selepas 5 tahun

Peguam tipu RM600,000 pelaburan rumah dicekup selepas 5 tahun

ACP Nik Ezanee Mohd Faisal

KUALA LUMPUR – Selepas lima tahun seorang lelaki mendakwa ditipu seorang peguam wanita sebanyak RM600,000 akhirnya suspek berjaya ditahan polis semalam.

Penahanan itu ekoran kes penipuan dalam pelaburan rumah tidak wujud, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal.

Menurutnya, polis menerima laporan polis dari mangsa lelak tersebut pada September 2015 selepas mengesyaki dirinya telah ditipu melalui tawaran pelaburan perumahan oleh suspek.

Mengikut laporan mangsa itu, suspek mengajak mangsa membuat pelaburanm seunit rumah berharga RM150,000 dengan tawaran kononnya akan mendapat pulangan beserta keuntungan RM180,000 untuk setiap rumah yang dilabur.

“Sekiranya rumah tersebut berjaya dijual kepada pemilik baharu, mangsa dijanjikan suspekakan menerima pulangan beserta keuntungan sebanyak RM900,000.

“Terpedaya dengan kata-kata dan janji manis palsu suspek wanita itu, mangsa telah berbincang dan bersetuju dengan tawaran yang diberikan dan telah menyerahkan wang berjumlah RM600,000 kepada suspek tersebut untuk empat unit rumah.

“Suspek menjanjikan mangsa yang wang tersebut akan dikembalikan sekiranya jualan rumah tidak berjaya,’ katanya dalam kenyataan hari ini.

Malangnya, kata Nik Ezanee, selepas enam bulan baru mangsa menyedari dirinya tertipu selepas membaca berita di akhbar yang peguam berkenaan telah didakwa di Mahkamah Petaling Jaya di sini atas kesalahan menjual rumah tidak wujud.

Tambah beliau, sejurus selepas itu, barulah mangsa menyedari dirinya turut menjadi mangsa penipuan suspek sama.

“Mangsa telah meminta suspek mengembalikan semula wangnya berjumlah RM600,000 yang diberikan untuk tujuan pelaburan tetapi suspek gagal berbuat demikian serta memberikan pelbagai alasan untuk mengelak,” ujarnya.

Bertindak atas maklumat pada 18 Mac lalu, pukul 8 pagi, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (BJSK) Petaling Jaya telah berjaya menahan suspek di pekarangan pejabat BSJK ibu pejabat polis berkenaan sebelum terus dibawa ke Mahkamah Jalan Duta untuk dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

“Suspek bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan bebas dengan jaminan RM7,000 dengan seorang penjamin.

“Semakan rekod lampau juga mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau di bawah Petaling Jaya dan dia telah dituduh dan sedang menjalani perbicaraan untuk kesemua kes tersebut yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika disabitkan kesalahan,” tegasnya.- MalaysiaGazette