KUALA LUMPUR – Rakyat hanya menanggung risiko jika memilih Pakatan Harapan (PH) yang bercelaru akibat struktur kepimpinan pembangkang yang diterajui tiga nakhoda sekaligus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, rakyat jangan gadai masa depan negara dengan kepimpinan seperti itu yang prestasi dan rekodnya yang tidak terbukti memimpin negara.
“Dalam UMNO kita ada hierarki kepimpinan, rekod prestasi selama 60 tahun dan visi yang jelas khususnya dalam Transformasi Negara 2050 (TN50). Kita mampu mentadbir negara, tahu nak bawa negara ke arah mana, semuanya jelas.
“Soalnya, kenapa dan mengapa patut kita meletak mengambil risiko kepada satu pihak yang hari ini tak menentu dan tak jelas, malah sudah tentu kita menanggung risiko tinggi kalau kita memilih pihak pembangkang,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Umno 2017 di Dewan Tun Razak 1, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas struktur baharu PH yang diumumkan oleh Majlis Presiden pakatan pembangkang selepas lima jam bermesyuarat pada malam Jumaat lepas.
Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi PH baharu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu sidang media yang menyaksikan pasangan suami isteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilantik masing-masing sebagai Ketua Umum dan Presiden dalam gabungan pembangkang itu.
Pelantikan tiga ikon pembangkang itu untuk menerajui PH mendapat kecaman pelbagai pihak susulan Anwar pernah dipenjarakan Mahathir atas dakwaan salah laku luar tabi’i manakala Wan Azizah pula sebagai bidang terjun dalam politik.
Hala tuju PH juga dipertikaikan susulan pucuk pimpinannya kini diterajui oleh tiga nakhoda dan lebih buruk lagi apabila tiada wakil daripada DAP.
Manakala pelantikan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden PH sebelum ini yang menjadi kontroversi kerana dakwaan Mahathir mahu menguasai pakatan pembangkang itu kini selesai apabila beliau diletakkan sebagai Timbalan Presiden bersama dua yang lain.
Dua lagi Timbalan Presiden PH itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu. – MalaysiaGazette