KUALA LUMPUR – Seorang wanita bukan sahaja disamun malah dicabul kehormatan oleh seorang pemandu kenderaan e-hailing yang dinaikinya.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku pukul 6.30 petang semalam ketika mangsa yang bekerja sebagai setiausaha sebuah syarikat itu dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.
Semasa kejadian mangsa berumur 23 tahun itu menaiki kenderaan e-hailing jenis Perodua Axia yang dipandu oleh suspek lelaki dari tempat kerjanya di Solaris Hartamas untuk pulang ke rumahnya di Sungai Besi.
“Dalam perjalanan, suspek telah membawa pengadu melalui haluan yang berbeza hingga tiba di kawasan Air Terjun Sungai Tua, Batu Caves.
“Suspek kemudiannya telah memberhentikan kenderaan dan menarik tangan pengadu sehingga terbaring sebelum suspek menindih badan pengadu dan menutup mulut pengadu secara kasar.
“Suspek juga telah merampas telefon bimbit pengadu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Arifai, suspek kemudian telah mengangkat mangsa dan menarik tangan mangsa ke tempat duduk penumpang di belakang kereta dan memaksa mangsa untuk membuka baju.
Menurutnya, mangsa telah meronta-ronta dan ahirnya berjaya keluar dari kereta dan melarikan diri sebelum menjerit meminta bantuan daripada penduduk setempat dan seterusnya membuat laporan polis.
Pada hari ini, bertindak atas laporan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Gombak telah menahan suspek pemandu berusia 25 tahun itu di perkarangan Balai Polis Selayang ketika hadir untuk memberi keterangan.
“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 392 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang esok bagi permohonan tahanan reman untuk siasatan lanjut.
“Semakan rekod jenayah juga mendapati suspek memiliki rekod jenayah lampau selain polis berjaya merampas kereta Perodua Axia dan telefon bimbit untuk membantu siasatan,” katanya.
Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati semasa menaiki kenderaan e-hailing agar tidak menjadi mangsa jenayah dan mengambil maklumat butiran kenderaan yang dinaiki sebagai langkah berjaga-jaga.- MalaysiaGazette