Home Nasional Imigresen jamin selesai isu perbaharui pasport di Singapura

Imigresen jamin selesai isu perbaharui pasport di Singapura

Khairul Dzaimee Daud

KUALA LUMPUR – Gangguan sistem serta kerosakan pada satu daripada dua mesin pencetak pasport, selain pemohon yang datang secara terus (walk-in) tanpa membuat janji temu merupakan punca berlakunya kesesakan memperbaharui pasport di Suruhanjaya Tinggi Malaysia (STM) di Singapura sejak dua hari lalu.

Bagaimanapun Jabatan Imigresen Malaysia memberi jaminan akan menyelesaikan isu kesesakan di STM di Singapura susulan kesukaran memperbaharui Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) di negara itu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kastam akan menempatkan lapan lagi pegawai di STM bermula minggu hadapan bagi membantu melancarkan proses dokumentasi pasport di negara republik itu selepas ini.

“Kesesakan itu sudah tidak berlaku hari ini. Ia hanya dilihat sesak sejak dua hari lalu..sekarang kita ada lima petugas di sana dan lapan lagi pegawai Kastam turut akan ditempatkan untuk membantu melancarkan proses pembaharuan pasport.

“Isu itu berlarutan sejak Oktober lalu dan tindakan sedang diambil bagi menangani masalah itu sepenuhnya,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui di serbuan penguatkuasaan Imigresen ke atas Pendatang Asing Tanpa Izin di tapak binaan sekitar Jalan Imbi bermula tengah malam hingga awal pagi tadi.

Menurut beliau, Jabatan Imigresen sudah menasihatkan pemohon supaya daftar dulu permohonan temu janji dalam talian untuk urusan memperbaharui pasport bagi melicinkan urusan.

Namun ada pemohon yang masih berdegil dan datang tanpa temu janji hingga menyebabkan kesesakan.

“Namun kita tetap akan memberi keutamaan kepada pemohon yang perlu perbaharui pasport, permit kerja kerana mereka tidak boleh keluar dari negara tersebut.

“Bagi mereka yang ada masa lagi, kita minta mereka mohon secara dalam talian dan akan diproses dalam pejabat Imigresen di Johor dan dalam masa empat atau lima minggu kita akan keluarkan pasport mereka,” katanya.- MalaysiaGazette