KUALA LUMPUR – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin sasaran eksport sawit negara pada tahun ini sebanyak RM75 bilion mampu dicapai berikutan penambahan pembelian jentera dan perolehan mekanisasi dapat dipertingkatkan.
Ia susulan tambahan peruntukan sebanyak RM20 juta dalam bentuk geran padanan bagi membantu Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) melalui pengumuman Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).
Menterinya, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, melalui inisiatif kesembilan Pemerkasa, f\Fokus Kedua: Memacu Pemulihan Ekonomi iaitu Mengurangkan Beban Syarikat dan Memperkasa Koperasi, peruntukan tersebut akan memberikan manfaat kepada 65 KPSM dengan keahlian seramai 6,000 peserta.
Semasa Belanjawan 2021, kerajaan sudah pun meluluskan geran padanan sebanyak RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi dan automasi bagi merancakkan industri sawit khususnya di peringkat penuaian di ladang.
Selain itu Geran Padanan Digitalisasi di bawah Bank Simpanan Nasional
(BSN) yang sebelum ini dimanfaatkan oleh perusahaan kecil dan
Sederhana (PKS) turut diperluaskan kepada koperasi akan memberikan
manfaat untuk koperasi-koperasi agrikomoditi yang akan diperkasakan lagi
bagi mengembangkan aktiviti perniagaan mereka melalui platform digital.
Menurut beliau, ia disokong dengan penglibatan koperasi sawit secara aktif bagi menjana pendapatan pekebun kecil sawit di seluruh negara.
Jumlah eksport sektor agrikomoditi bagi tahun 2020 meningkat 17.11 peratus kepada RM150.5 bilion berbanding RM128.5 bilion pada 2019.
Katanya, walaupun tahun ini merupakan tahun yang penuh dengan cabaran namun, KPPK akan terus gigih mendepani cabaran membangunkan industri agrikomoditi negara yang merupakan penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan
pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar. – MalaysiaGazette