Home Sukan Mr Enrich 2021 kembali dengan norma baharu, guna Tik Tok

Mr Enrich 2021 kembali dengan norma baharu, guna Tik Tok

Mr Enrich mencatatkan sejarah apabila seramai 406 peserta menyertai kejohanan pada tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Kejohanan badan cantik berprestij tanah air iaitu Mr Enrich akan diadakan semula pada Jun ini selepas dibatalkan tahun lalu gara-gara penularan wabak Covid-19

Pengasas Mr Enrich, Krishna Kumar berkata, pertandingan yang ditunggu-tunggu oleh atlet badan cantik itu akan memperkenalkan konsep rakaman video kepada peserta pada tahun ini.

Jelas beliau, aplikasi Tik Tok akan digunakan bagi mengelakkan kejohanan itu diadakan secara terbuka seperti pusat membeli-belah sebelum ini.

“Peserta yang telah mendaftar akan mula diberikan nombor kad atau tag number pada 25 Jun ini dan selepas itu perlu merakamkan aksi rutin kejohanan secara rakaman di TikTok di mana-mana mereka berada.

“Peserta yang menyertai dua kategori akan dapat dua tag number yang berbeza dan perlu memakai kedua-duanya sekali namun hanya membuat satu video sahaja,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.

Temubual bersama Pemilik Pusat Gimnasium Enrich Fitness, Krishnakumar di Seri Kembangan, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 19 JANUARI 2021.

Kumar menambah pada 26 dan 27 Jun, peserta diberi masa untuk membuat video aksi rakaman menerusi TikTok mereka dan memilih yang terbaik untuk diserahkan kepada penganjur.

Tambah beliau, video peserta itu perlu dihantar sebelum pukul 5. petang pada 27 Jun ini,

“Sebagai langkah professional, kami akan melantik pasukan khas untuk memastikan agar tiada video yang telah diubahsuai atau palsu.

“Seterusnya proses prapenilaian untuk semua kategori akan dilakukan oleh juri professional pada 30 Jun ini dan pertandingan akhir diadakan pada 1 Julai depan,” katanya.

Sementara itu, Mr Enrich merupakan kejohanan badan cantik yang sentiasa dinantikan oleh atlet bina badan kerana ia menawarkan hadiah lumayan tanpa yuran penyertaan.

Pada 2019, Mr Enrich mencatatkan sejarah apabila seramai 406 peserta menyertai kejohanan pada tahun itu dengan jumlah kehadiran penonton melebihi 3,000 orang. – MalaysiaGazette