Home Politik Salahkan Anwar, PKR selar kenyataan Ismail Sabri

Salahkan Anwar, PKR selar kenyataan Ismail Sabri

Shamsul Iskandar Mohd Akin

KUALA LUMPUR – PKR menyelar sikap Datuk Seri Ismail Sabri yang menyalahkan presidennya atas masalah yang berlaku di dalam UMNO.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, daripada menyalahkan Anwar, pemimpin UMNO itu mengakui senario perlunya mereka bekerjasama dengan parti-parti lain.

“Oleh itu, daripada mencuba menyalahkan Anwar untuk segala masalah UMNO, Ismail Sabri sepatutnya mengakui bahawa sebahagian ahli UMNO sedar satu-satunya jalan untuk terus bertahan dan kekal relevan adalah dengan mewujudkan kerjasama dengan parti lain atas dasar nilai yang dikongsi bersama.

“Apakah nilai-nilai tersebut? Nilai tersebut adalah nilai yang selaras dengan aspirasi rakyat yang didasari oleh perpaduan, demokrasi, kemakmuran bersama dan mewujudkan kerajaan yang menyebarluaskan integriti dan menegakkan tadbir urus yang baik,” kataya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Shamsul Iskandar, ahli UMNO turut menyedari kerjasama parti bersama Bersatu hanyalah didasari oleh keinginan Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk kekal berkuasa atas apa cara sekalipun.

“Oleh itu, nasihat saya kepada Datuk Seri Ismail Sabri, daripada menyerang tanpa hala tuju dan asas, sepatutnya beliau mengadakan musyawarah krisis bersama Presiden UMNO dan seluruh kepimpinan parti untuk berbincang bagaimana melawan ketidakrelevanan UMNO yang didalangi Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bukannya cuba menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kenyataan Anwar boleh timbul syak wasangka – Ismail Sabri