KUALA LUMPUR – Sikap tunggu dan lihat rakyat Malaysia adalah punca utama kadar pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menerusi aplikasi MySejahtera didapati masih rendah.
Malah kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, selain sikap berkenaan, masih ada lagi yang tidak tahu tentang kewujudan PICK.
Justeru pihak kementerian ujarnya, akan meningkatkan program komunikasi dan pendedahan PICK kepada rakyat termasuk di kawasan-kawasan luar bandar.
“Kadar pendaftaran yang masih lagi agak rendah disebabkan sikap tunggu dan lihat. Kebanyakan rakyat tunggu dan lihat dan ada jaga di kawasan luar bandar yang tidak tahu langsung tentang PICK.
“Ini adalah faktor-faktor yang akan kita ambil kira dan kita meningkatkan lagi program komunikasi kita yang perlu,” katanya ketika sidang media Perkembangan PICK yang diadakan bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi aplikasi Zoom hari ini.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin memaklumkan sebanyak 25.4 peratus atau 6,155,213 rakyat berusia 18 tahun ke atas sudah mendaftar bagi PICK.
Rekod itu berdasarkan dapatkan sehingga tengah malam tadi.
Seramai 428,710 sudah menerima suntikan vaksin, masing-masing 412,342 individu bagi dos pertama manakala 16,368 penerima untuk dos kedua.
Tambahnya, sebanyak 847,630 sudah dihantar ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) manakala 426,935 janji temu sudah diaturkan.
Dalam pada itu, beliau yakin jumlah pendaftaran PICK akan semakin meningkat dari semasa ke semasa.
“Mereka akan yakin bila tengok saudara mereka sudah dapat vaksin. Ini adalah proses,” tambahnya.
Sementara itu beliau turut memaklumkan, program membantu pendaftaran juga akan digerakkan secara bersemuka iaitu dari rumah ke rumah bagi kawasan luar bandar dan menerusi panggilan telefon.
“Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) sedang menggerakkan pendaftaran secara bersemuka rumah ke rumah oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Saya juga telah memberi taklimat kepada ahli-ahli Parlimen untuk menggunakan jentera pusat khidmat masyarakat wakil rakyat untuk menyelaraskan pendaftaran bersemuka bagi kawasan luar bandar dan yang tiada capaian internet atau peranti.
“Talian pendaftaran PICK akan mula membuat panggilan kepada orang ramai yang mempunyai akaun MySejahtera tetapi belum mendaftarkan diri dalam PICK bagi memberi peringatan serta membantu membuat pendaftaran jika terdapat sebarang kesulitan,” ujarnya.
Untuk rekod, PICK bermula pada 24 Febuari lalu.
Fasa pertama akan berakhir April depan manakala fasa kedua April hingga Ogos depan untuk kira-kira 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas dan golongan berisiko tinggi.
Fasa 3 pula akan bermula pada Mei hingga Februari 2022 dan disasarkan untuk sekitar 13.7 juta penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas, sama ada rakyat tempatan atau warga asing.-MalaysiaGazette