CHERAS – Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit di antara komponen kren dan di lebuh raya dalam pembinaan di Persiaran Alam Damai, di sini, giat dijalankan pasukan penyelamat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba, Nordin Pauzi berkata, operasi tersebut dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk pihak kontraktor.
Menurut Nordin, dalam insiden yang berlaku kira-kira pukul 8 pagi itu, tiga mangsa yang merupakan pekerja tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang disahkan meninggal dunia, seorang mangsa cedera (pemandu kereta) manakala dua lagi pekerja terselamat.
“Operasi mengeluarkan seorang lagi mangsa (terkorban) yang terhimpit di atas kerangka struktur berkenaan sedang dilaksanakan.
“Kita juga dapat kerjasama daripada pihak kontraktor untuk mengangkat bebanan yang menindih mangsa berkenaan.
“Kami jangka tiga jam dari sekarang akan ada satu perkembangan baharu,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Mengulas lanjut, Nordin berkata, penggunaan kren berkapasiti tinggi akan digunakan bagi kerja-kerja mengangkat bebanan tersebut.
“Ada dua senario kerana bebanan itu memang berat selain struktur yang tinggi, jadi kestabilan adalah sangat penting.
“Kerja tersebut akan menggunakan kren berkapasiti tinggi,” ujarnya. – Malaysia Gazette