Home Sukan Zii Jia sudah temui rentak – Chong Wei

Zii Jia sudah temui rentak – Chong Wei

Lee Chong Wei
Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR – Legenda negara, Datuk Lee Chong Wei memberi suntikan motivasi kepada Lee Zii Jia selepas pemain perseorangan lelaki negara itu mengikut jejaknya memenangi Kejohanan Seluruh England malam tadi.

Chong Wei, 38, berkata, Zii Jia, 23, sudah kembali menemui rentak permainannya selain mahu pemain ranking kesepuluh dunia itu terus berusaha gigih dalam memburu lebih kejayaan manis pada masa akan datang.

“Tahniah Lee Zii Jia! Juara All England yang baharu! Satu persembahan yang mantap dan kelihatannya kamu sudah menemui rentak. Teruskan berusaha!” kata Chong Wei dalam satu hantarannya di laman Facebook miliknya yang turut meletakkan tanda pagar #laginervoustengokboladrppemainrupanya.

Zii Jia kini menyertai senarai pemain perseorangan lelaki negara yang pernah merangkul gelaran di kejohanan berkenaan selepas pemain dari Alor Setar, Kedah itu menewaskan pemain ranking kedua dunia dari Denmark, Viktor Axelsen 30-29, 20-22, 21-9 pada aksi final di Utilita Arena Birmingham, England.

Selain Chong Wei, pemain tempatan lain yang pernah menjuarai kejohanan bertaraf Super 1000 berkenaan adalah Wong Peng Soon (1950, 1951, 1952, 1955), Datuk Eddy Choong (1953, 1954, 1956, 1957), Tan Aik Huang (1966) dan Muhammad Hafiz Hashim (2003).

Hafiz turut mengucapkan tahniah kepada Zii Jia: “Seorang lagi juara Seluruh England. Tahniah Lee Zii Jia. Piala berprestij itu bukan senang nak genggam dan tahniah juga kepada Axelsen. Aksi yang mantap dalam perlawanan akhir,”. – MalaysiaGazette