KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menjelaskan had setiap jenis hutang kerajaan di bawah lunas undang-undang masih dipatuhi bagi memastikan disiplin di dalam pengurusan fiskal.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, hutang Kerajaan Persekutuan merangkumi segala jenis hutang sama ada dalam atau luar negara.
Hutang Dalam Negara tertakluk kepada Akta Pinjaman (Tempatan) 1959, Akta Pendanaan Kerajaan 1983 dan Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946.
Akta-akta ini meliputi Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) serta Bil-bil Perbendaharaan (MTB)2 .
Di luar akta-akta ini, hutang dalam negara turut melibatkan Sukuk Perumahan Kerajaan kerana sebelum 2016, pinjaman perumahan awam masih dianggap sebagai hutang negara, lebih kurang 3% daripada keseluruhan hutang Kerajaan.
Manakala hutang luar negara atau pinjaman pesisir luar adalah untuk projek-projek (seperti pinjaman dari JICA atau IDB) dan pinjaman pasaran (seperti sukuk global atau Bon Samurai). Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 turut menetapkan had sebanyak RM35 bilion sahaja dan had ini sentiasa dipatuhi..
Katanya, sebelum Covid-19, had Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kendiri sebanyak 55% telah digunapakai bagi hutang domestik dan luar negara.
Tetapi, apabila negara dilanda Covid-19, dasar fiskal yang lebih fleksibel diperlukan untuk menyelamatkan nyawa dan kelangsungan hidup.
Oleh yang demikian, had bagi MGS, MGII dan MITB telah diubah kepada 60% dan diluluskan di Parlimen melalui Rang Undang-undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan [Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)] 2020.
“Apabila Kementerian Kewangan melaporkan hutang negara adalah sebanyak RM820.7 bilion atau 58.0% daripada KDNK setakat hujung tahun 2020 dan menjangkakan hutang akan mencecah 58.5% daripada KDNK pada 2021 ia adalah merujuk kepada MGS, MGII dan MITB (seperti yang ditakrif dan diperuntukkan di bawah Akta Covid-19).
”Ia mengambil kira pinjaman pesisir luar dan pinjaman-pinjaman lain, jumlah hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM879.6 bilion atau 62.2% daripada KDNK,” katanya dalam kenyataan di sini.
Tengku Zafrul berkata, langkah-langkah ini telah dijelaskan dan diterima oleh agensi-agensi penilaian antarabangsa dan para penganalisa.
Dalam erti kata lain, kedua-dua definisi adalah tepat tetapi merujuk kepada komponen-komponen hutang yang berbeza dan kerajaan sentiasa konsisten di Parlimen atau kepada pihak media semasa menerangkan hutang negara bahawa ianya merangkumi MGS, MGII dan MITB.
Jelas beliau, krisis Covid-19 telah menyaksikan tindakan-tindakan luar jangka oleh pihak kerajaan serata dunia yang telah menyumbang kepada kenaikan ketara ke atas defisit fiskal dan hutang kerajaan.
Menurutnya, tindakan pantas dan proaktif kerajaan dalam memberi respons dasar melalui empat pakej stimulus ekonomi berjumlah RM305 bilion – membantu mengurangkan kadar pengangguran dari 5.3% pada Mei 2020 kepada 4.9% pada Januari 2021, yang mana lebih kurang 200,000 pekerjaan dari sektor formal telah diwujudkan melalui inisiatif PenjanaKerjaya 2.0 di bawah Perkeso.
Kerajaan juga telah menyelamatkan 2.7 juta pekerjaan dengan menyalurkan lebih dari RM14.4 bilion subsidi upah kepada lebih daripada 330,000 pekerja.
Geran Khas Prihatin memberi talian hayat kepada sekurang-kurangnya 900,000 peniaga PKS Mikro.
Malah, tindakan ini telah menaikkan defisit fiskal kepada 6.2% daripada KDNK pada tahun 2020, tetapi ia lebih rendah dari purata defisit bagi ekonomi baru muncul dan ekonomi kelas pertengahan sebanyak 10.3% dan lebih rendah dari defisit 6.7% yang direkodkan semasa kemuncak Krisis Kewangan Global pada tahun 2009.
Tahun ini, selain dari Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion, kerajaan turut melancarkan Pakej Bantuan Permai bernilai RM15 bilion dan program Pemerkasa bernilai RM20 bilion.
Secara keseluruhan, pakej-pakej ini telah membantu menyelamatkan nyawa dan kelangsungan hidup; memastikan kesinambungan perniagaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi.
Lebih penting lagi, ujar beliau, sebanyak RM5.0 bilion telah diperuntukkan ke arah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk mencapai sasaran imuniti kelompok kepada Disember 2021, tiga bulan lebih awal dari sasaran asal.
Tengku Zafrul berkata, segala usaha-usaha ini memerlukan penambahan hutang yang telah membantu mengekalkan pekerjaan dan menyelamatkan perniagaan serta mengurangkan kesan Covid-19 kepada ekonomi negara dengan menghadkan penguncupannya kepada 5.6% pada 2020.
Sebagai perbandingan, penguncupan ekonomi Malaysia adalah lebih rendah berbanding UK pada -9.9%, ilipina pada -9.5%, EU pada -6.2% dan Thailand pada -6.1%.
Secara dasarnya, faktor paling utama adalah bagaimana pihak kerajaan hendak menjelaskan hutang dan kunci utama adalah pertumbuhan ekonomi negara.
Katanya, telah mula melihat pemulihan ekonomi negara hasil daripada langkahlangkah dasar yang efektif.
Sektor eksport negara kekal berdaya maju, berkembang selari dengan pemulihan perdagangan global.
Kenaikan semula ekonomi dunia bermaksud nilai komoditi lebih tinggi di mana ia merupakan komponen utama perdagangan negara.
Dengan pembukaan semula ekonomi secara beransur, penggunaan domestik akan meningkat semula. Organisasi seperti Bank Dunia dan IMF meramalkan ekonomi Malaysia akan bangkit semula pada 2021,dengan kadar 5.6% – 6.7% dan 6.5% .
”Ditambah pula dengan pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang tersusun, langkah hadapan secara bersasar dan pematuhan SOP yang ketat, ekonomi Malaysia kini teguh bergerak ke arah pemulihan dan pengukuhan ekonomi pada tahun ini.
”Dalam jangka masa sederhana dan panjang, Kerajaan komited terhadap konsolidasi fiskal melalui Strategi Hasil Jangka Sederhana dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.
Akta Tanggungjawab Fiskal yang dicadangkan akan mengkaji secara komprehensif dan memperkuat rangka kerja fiskal jangka sederhana, antara lain dengan mengutamakan perbelanjaan, menambah baik kerangka cukai, mengetatkan penguatkuasaan dan meminimumkan ketirisan,” ujar beliau lagi.
Kerajaan pada masa ini fokus untuk melonjakkan ekonomi, serta menangani masalah struktur demi pertumbuhan dan ketahanan sosio-ekonomi.
”Sekiranya kita perlu menanggung lebih banyak hutang untuk menyokong rakyat dan perniagaan, yakinlah bahawa kerajaan akan menguruskannya dengan komitmen yang tegas dan telus terhadap disiplin fiskal,” katanya. – MalaysiaGazette