Home Dunia Uighur: Barat laksanakan sekatan ke atas China atas pelanggaran hak

Uighur: Barat laksanakan sekatan ke atas China atas pelanggaran hak

Kompleks tahanan Uighur di Xinjiang. foto Agensi

LONDON – Beberapa negara Barat melaksanakan sekatan ke aras pegawai-pegawai kerana penyalahgunaan hak terhadap kumpulan minoriti Uighur yang kebanyakannya beragama Islam.

China telah menahan komuniti Uighur di kem di wilayah barat laut Xinjiang.

Di kem itu, tahanan Uighur didakwa diseksa, melakukan kerja paksa dan penderaan seksual.

Sekatan tersebut diperkenalkan sebagai usaha yang diselaraskan oleh Kesatuan Eropah (EU), United Kingdom, Amerika Syarikat (AS) AS dan Kanada.

China membalas tindakan itu dengan melakukan sekatan terhadap pegawai-pegawai Eropah.

Beijing telah menafikan penyiksaan yang dilakukan ke atas tahanan Uighur, sebaliknya menyifatkan kem itu sebagai pusat kemudahan pendidikan semula untuk menangani keganasan.

Tetapi Setiausaha Luar United Kingdom, Dominic Raab, mengatakan perlakuan terhadap tahanan Uighur adalah “pelanggaran berat terhadap hak asasi manusia paling asas”.

EU tidak mengenakan sekatan baharu ke atas China atas pelanggaran hak asasi manusia sejak tindakan ganas di Lapangan Tiananmen 1989, ketika askar di Beijing melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan pro-demokrasi.

Sekatan yang dilaksanakan itu termasuk larangan perjalanan dan pembekuan aset, mensasarkan pegawai kanan di Xinjiang yang telah dituduh melakukan pelanggaran hak asasi manusia serius terhadap umat Islam Uighur.

Mereka ialah:

Chen Mingguo, Pengarah Biro Keselamatan Awam Xinjiang, pasukan polis tempatan;

Wang Mingshan, anggota jawatankuasa tetap Parti Komunis Xinjiang, yang, menurut EU, “memegang jawatan politik penting yang bertanggungjawab mengawasi” penahanan orang Uighur;

Wang Junzheng, Setiausaha Parti Xinjiang Production and Construction Corps (XPCC), sebuah organisasi ekonomi dan separa tentera milik negara;

Mantan Timbalan Ketua Parti Komunis di Xinjiang, Zhu Hailun, yang dituduh memegang “kedudukan politik penting” dalam mengawasi operasi kem tersebut; dan

Biro Keselamatan Awam Kor Pengeluaran dan Pembinaan Xinjiang, yang bertugas melaksanakan polisi XPCC mengenai hal-hal keselamatan, termasuk pengurusan pusat tahanan.

Raab menyebut penyalahgunaan umat Islam Uighur di Xinjiang “salah satu krisis hak asasi manusia terburuk pada zaman sekang.

”Saya rasa, ia jelas dengan bertindak bersama-sama rakan kongsi kita – 30 dari kita secara keseluruhan – kita menghantar mesej paling terang kepada pemerintah China, bahawa masyarakat antarabangsa tidak akan menutup mata terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang serius dan sistematik ini dan kita akan bertindak bersama-sama untuk meminta pertanggungjawaban mereka,” katanya kepada anggota Parlimen.

Dalam satu kenyataan, Setiausaha Negara AS , Antony Blinken mengatakan China melakukan “pembunuhan beramai-ramai dan kejahatan terhadap kemanusiaan”.

AS menjelaskan negara itu melakukan sekatan ke atas Wang Junzheng dan Chen Mingguo atas tindakan mereka yang melakukan penahanan sewenang-wenangnya dan penganiayaan fizikal yang teruk.

“Ia merupakan antara pelanggaran hak asasi manusia yang serius,” ujar AS.

Sekatan itu berlaku di tengah peningkatan pemeriksaan antarabangsa terhadap perlakuan China terhadap orang Uighur.

Lebih daripada satu juta orang Uighur dan minoriti lain dianggarkan telah ditahan di kem di Xinjiang.

Xinjiang terletak di barat laut China dan merupakan wilayah terbesar di negara itu.

Seperti Tibet, ia bersifat autonomi, yang bermaksud – secara teori – ia mempunyai beberapa kuasa pemerintahan sendiri. Tetapi dalam praktiknya, kedua-duanya menghadapi sekatan besar oleh pemerintah pusat.

Orang Uighur yang tinggal di rantau ini bertutur dalam bahasa mereka sendiri, serupa dengan bahasa Turki, dan melihat diri mereka sebagai budaya dan etnik yang dekat dengan negara-negara Asia Tengah.

Kerajaan China telah dituduh melakukan pensterilan paksa terhadap wanita Uighur dan memisahkan anak-anak dari keluarga mereka. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Semua negara2 Islam patut mengambil sikap yang sama terhadap negara yang melakukan penindasan kejam kepada rakyat mereka yang ingin mengamalkan agama dan budaya sendiri?

  2. Mahathir masa jd PM bila sampai kes China dia kata..kita tak boleh kritik China sebab China kuasa besar dan penting kepada ekonomi kita…nampak sangat duit lebih penting dari nyawa umat Islam..uftt

Comments are closed.