KUALA LUMPUR – Persepsi dalam kalangan masyarakat bahawa Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanyalah pemberi pinjaman atau pengutip hutang perlu diubah selari dengan fungsi sebenar PTPTN sebagai tabung pendidikan untuk seluruh rakyat.
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata, tabungan yang dibuat bukan sahaja untuk anak-anak menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi tetapi boleh digunakan pada waktu-waktu kecemasan atau apa jua krisis.
Katanya, peranan PTPTN harus dilihat sama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang menjadi wadah dana persaraan atau Tabung Haji sebagai platform tabungan untuk mengerjakan haji pada masa hadapan.
“Saya juga ingin melihat setiap keluarga di Malaysia sekurang-kurangnya mempunyai satu akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) yang menawarkan banyak manfaat dan kelebihan seperti dijamin Kerajaan, patuh syariah, kadar dividen yang kompetitif, simpanan yang bertakaful, ada khairat kematian, pelepasan taksiran cukai serta geran sepadan.
“Dan tidak lupa juga SSPN adalah satu-satunya kelayakan untuk mendapatkan pinjaman PTPTN,” katanya menerusi temu bual bersama Malaysia Gazette baru-baru ini.
Sehubungan dengan itu, Ahmad Dasuki turut menyeru ibu bapa supaya segera membuka akaun SSPN untuk anak-anak mereka seawal usia sehari kerana ia merupakan satu pelaburan yang tidak merugikan.
Katanya lagi, perancangan penabungan perlu dilakukan lebih awal oleh ibu bapa dalam menjamin masa depan anak-anak mereka dan SSPN merupakan produk simpanan yang terbaik.
“Kita mempunyai 64 cawangan di seluruh negara dengan lebih 450 eksekutif pemasaran yang sedia membantu pada bila-bila masa sahaja atau lebih mudah membuka akaun secara online.
“Seawal usia anak satu hari, ibu bapa boleh membuat perancangan kewangan dengan membuka akaun SSPN kerana ia membantu melahirkan graduan tanpa hutang serta setiap ringgit yang disimpan diberi jaminan oleh kerajaan,” ujarnya.
Menurut Ahmad Dasuki, walaupun 2020 merupakan tahun paling mencabar buat seluruh rakyat akibat penularan wabak Covid-19 namun PTPTN berjaya mencatatkan pencapaian cemerlang dalam menggalakkan penabungan melalui SSPN.
Menurut beliau, jumlah deposit SSPN pada tahun lalu sebanyak RM1.99 bilion sekali gus memecah rekod terdahulu dengan menunjukkan peningkatan sebanyak RM623.82 juta berbanding RM1.37 bilion pada 2019.
“Jumlah keseluruhan deposit SSPN sehingga 31 Disember tahun lalu ialah RM7.88 bilion.
“Bagi pembukaan akaun baharu pula, sebanyak 436,101 akaun berjaya dibuka sepanjang tahun 2020 berbanding sasaran tahunan sebanyak 400,000 akaun.
“Secara keseluruhan, sebanyak 4.82 juta akaun SSPN telah dibuka sejak instrumen simpanan ini diperkenalkan pada tahun 2004,” katanya.
Sementara itu, beliau turut menyeru kepada para peminjam PTPTN untuk meneruskan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi mereka yang berkemampuan.
Kata Ahmad Dasuki, PTPTN juga terus komited melaksanakan program-program yang dapat meningkatkan budaya membayar balik pinjaman untuk kelestarian generasi pada masa akan datang.
“Seperti kita sedia maklum pada tahun lepas, PTPTN telah memberikan penangguhan bayaran balik secara automatik yang memberikan manafaat kepada 1.5 juta peminjam dengan jumlah keseluruhan penangguhan bayaran balik sebanyak RM1.13 bilion.
“Kita juga memberikan penangguhan bayaran balik bersasar mulai Januari hingga hujung Mac ini. Jika dillihat semula pada tahun lalu kita menerima lebih kurang 30 peratus bayaran balik walaupun penangguhan bayaran balik diberikan.
“PTPTN sentiasa berterima kasih kepada peminjam yang meneruskan bayaran balik walaupun diberikan pengecualian, justeru saya menyeru juga kepada peminjam supaya meneruskan usaha mereka ini dan mana-mana yang belum membuat bayaran balik tetapi berkemampuan bolehlah berbuat demikian.
“Ia adalah untuk memastikan PTPTN mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk memberikan pinjaman kepada generasi baharu pada masa akan datang. Jadi sama-sama lah kita jadikan PTPTN sebagai tempat untuk mendapatkan kejayaan pada masa akan datang menerusi pinjaman ataupun simpanan yang disediakan,” ujarnya. – Malaysia Gazette