PUTRAJAYA – Lebih 2,000 anak muda bakal berentap pada kejohanan Malaysia Esports Series (MES) 2021 yang bakal berlangsung mulai Jumaat ini hingga 11 April depan secara maya.
Kejohanan yang dianjurkan oleh Kelab THQ Esports dan My Events International itu menawarkan hadiah lumayan sehingga RM100,000 dengan sasaran 300,000 penonton dari 10 buah negara.
Tiga jenis permainan yang akan dipertandingkan — FIFA 2021 dan Mobile Legends Bang Bang (MLBB) iaitu secara berkumpulan manakala PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) secara perseorangan.
Pemilik Kelab THQ Esports, Muhammad Aimanulhaq Zaharudin berkata, penganjuran kejohanan MES 2021 adalah bagi menyokong hasrat kerajaan untuk menjadikan negara sebagai hab e-sukan di rantau Asia Tenggara.
Menurutnya, penganjuran pertandingan buat julung kali itu turut mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Tinggi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).
“Memandangkan aktiviti sukan luar tidak dapat dijalankan kerana masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat dan PKP Pemulihan jadi kita anjurkan kejohanan ini bagi pengisian aktiviti masa lapang.
“Ia juga sebagai platform bagi peserta dan penonton untuk berinteraksi, mempelajari serta menimba pengalaman dari atlet e-sukan negara seperti Xorn Gaming, Safee Sali dan Amtuah (pemain pro FIFA) selama lebih tiga minggu kejohanan ini berlangsung,” katanya.
MES 2021 dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Tambah Muhammad Aimanulhaq, penganjuran MES 2021 juga secara tidak langsung membuka ruang dan peluang kepada golongan muda untuk menonjolkan bakat mereka dalam bidang e-sukan selain menyuntik kekuatan untuk bersaing ke peringkat lebih tinggi.
“Saya sendiri sudah berkecimpung dalam bidang e-sukan ini lebih 10 tahun iaitu sejak di bangku sekolah lagi. Jadi sepanjang membesar saya yakin bahawa e-sukan ini boleh dijadikan sebagai satu kerjaya bagi anak-anak muda.
“Dalam masa sama, kita juga tidak mahu bakat yang ada pada Amtuah sebagai pemain profesional FIFA hilang begitu sahaja kerana dia sudah pergi ke peringkat antarabangsa seperti pertandingan di Perancis dan Jerman.
“MES 2021 bukan sekadar kejohanan sahaja tetapi kita mahu cungkil bakat baharu dan sekiranya mereka menunjukkan potensi, THQ akan cuba gilap bakat mereka untuk menjadi seorang pemain profesional,” ujarnya.
Sementara itu, Reezal Merican berkata, penganjuran MES 2021 dilihat sebagai langkah proaktif yang dijana oleh pemegang taruh industri demi untuk merancakkan lagi ekosistem e-sukan di dalam negara.
Jelas beliau, peningkatan minat dan permintaan daripada peminat e-sukan tempatan juga sudah tidak boleh disangkal lagi dan penganjuran kejohanan berskala besar seperti MES 2021 disambut baik di peringkat kementerian.
“Mungkin e-sukan adalah satu-satunya bidang sukan yang tidak menerima kesan langsung dari pandemik Covid-19 ini.
“Berdasarkan sebuah kajian menunjukkan e-sukan streaming viewship meningkat di antara 75 hingga 100 peratus berbanding sebelum bermulanya situasi wabak Covid-19.
“Sebanyak 50 hingga 75 peratus gamers pula memperuntukkan lebih banyak masa untuk permainan e-sukan berbanding dengan keadaan sebelumnya.
“Asia juga kekal menjadi benua dengan penonton teramai e-sukan dan ini sudah pastinya tidak terkecuali termasuk negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette