KUALA LUMPUR – Jangka hayat politik Pakatan Harapan (PH) dijangka tidak kekal lama susulan kepimpinan tertinggi gabungan parti pembangkang itu mempunyai ideologi politik yang jauh berbeza antara satu sama lain.
Presiden Gerakan Akar Umni Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, kerapuhan parti pembangkang itu telah terbukti apabila Pakatan Rakyat dibubarkan selepas rakyat memberi mandat memerintah di beberapa negeri.
“Rakyat diminta berfikiran matang menilai keadaan politik semasa melibatkan gabungan parti-parti politik pembangkang PKR,DAP, PPBM dan PAN yang dinamakan PH.
“Sejarah telah membuktikan bagaimana rapuhnya gabungan parti pembangkang sebelum ini apabila Pakatan Rakyat memerintah Pulau Pinang, Selangor termasuk Kelantan telah dibubarkan akibat perbezaan ideologi pimpinan parti mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata soal pemilihan calon Perdana Menteri merupakan isu yang bakal menghancurkan pakatan pembangkang itu sekiranya mereka memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
“Siapa sebenarnya Perdana Menteri pilihan utama dalam kalangan parti-parti gabungan ini? Walaupun Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun beliau kini berada di dalam penjara
“Ini adalah terlalu mustahil untuk Anwar bertanding pada PRU14 akan datang kerana tempoh akhirnya pada Jun 2018,” jelasnya.
Katanya, sekiranya Anwar dibebaskan selepas mendapat pengampunan DiRaja, sejauh mana Mahathir atau Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudi menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Ketua Umum PH itu.
“Adakah dengan mudah Tun Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri tersebut kepada Anwar Ibrahim, sebelum ini secara jelas mereka berdua tidak bersetuju dengan cadangan itu.
“Mungkin juga Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail calon sementara Perdana Menteri. Namu adakah dengan begitu mudah Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Mahathir dan Muhyiddin bersetuju dengan pemilihan ini?” soalnya.
Menurutnya lagi, rakyat perlu bijak memilih dan menilai semula politik huru-hara pembangkang termasuk insiden perebutan kuasa dalam Langkah Kajang di Selangor melibatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Wan Azizah dan Azmin.
“Adakah keadaan yang sama akan dilalui oleh rakyat Malaysia apabila PH diberikan peluang untuk memerintah Malaysia pada masa yang akan datang?
“Justeru rakyat diminta berfikiran cukup matang bagi menilai keadaan politik PH ketika ini untuk masa depan rakyat Malaysia itu sendiri,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.