KUALA LUMPUR – Lebih lima tahun tidak muncul dengan single terbaharu, kumpulan nasyid Hijjaz akhirnya mengubati kerinduan peminat mereka menerusi lagu Seniman Agong Allahyarham Tan Sri P Ramlee berjudul Tiada kata Secantik Bahasa(TKSB) 2020 yang diberikan nafas baru.
Namun apa yang menariknya, Hijjaz yang dianggotai Munif Ahmad, Isman Nadim Isam, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim tidak bersendirian mendendangkan lagu berkonsepkan selawat itu.
Sebaliknya TKSB 2020 menyaksikan kolaborasi julung kalinya kumpulan nasyid yang ditubuhkan sejak 1997 itu bersama tiga bakat muda iaitu duo rap terkenal tanah air, Kmy Kmo dan Lucka Sickta serta bekas peserta program realiti Mentor musim ketujuh, Pasya.
Bagi menampilkan kelainan selepas sekian lama tidak memiliki buah tangan terbaru, Hijjaz menyuntikkan eleman segar ke dalam single terbaru itu apabila memasukkan elemen Rock Nasyid Rap (RNR).
Anggota Hijjaz, Isman Nadim Isam yang juga pencetus idea kepada TKSB 2020 malah turut bertindak sebagai penulis lagu, lirik serta penerbit lagu itu berkata, dia mendapat ilham hampir tiga tahun lalu ketika berada di Madinah.
“Siapa yang tidak meminati Allahyarham Tan Sri P Ramlee, malah sehingga kini lagu-lagunya malar segar serta masih melekat di jiwa kebanyakkan daripada kita. Lagu Tiada Kata Secantik Bahasa adalah salah satu lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang cukup saya minati dan bagi saya ia sebuah lagu yang bagus.
Sewaktu berada di Madinah sekitar 2018, saya terfikir kenapa tidak lagu itu digubah menjadi lagu selawat. Saya berhasrat menukar liriknya yang memuji wanita kepada memanjatkan selawat ke atas Rasullullah.
“Semoga dengan karya itu, dapat menjadi ladang pahala bukan saja kepada mereka yang turut berselawat apabila mendengarkan lagu kami, malah pahala itu dapat mengalir kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee, itulah objektif utama saya.
“Jadi sepanjang di Masjid Nabawi, saya gunakan kesempatan itu berbual-bual dengan Rasullullah, sambil meminta baginda mengaminkan doa saya. Alhamdulillah setelah hampir tiga tahun, hasrat itu akhirnya termakbul,” kata Isman.
Ujarnya lagi, kekangan bajet menjadi faktor kenapa hasrat untuk menghasilkan single terbaru itu tertangguh agak lama. Selain itu katanya, urusan mendapatkan kelulusan hak penciptaan lagu yang pastinya menyukarkan menjadi antara sebab kenapa mereka melupakan hasrat itu.
Namun penantian itu nyata berbaloi, doa mereka seakan dimakbulkan apabila pihak Universal Music yang juga pemegang hak cipta lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee menawarkan projek single kepada mereka. Enggan menunggu lama, Hijjaz ‘menyambar’ tawaran yang dihulurkan syarikat rakaman terkemuka itu.
“Ketiadaan bajet membuatkan kami terpaksa memendamkan saja hasrat untuk terbitkan lagu itu pada mulanya. Lagipun ia melibatkan syarikat yang besar, jadi kami biarkan saja hasrat itu terpendam.
“Tapi mungkin inilah dinamakan rezeki apabila saya menerima panggilan telefon daripada Penasihat A&R Domestik Universal Music Malaysia, Hermond Cheng sebelum sambutan Maulidur Rasul tahun lepas.
“Dia tanya adakah saya mempunyai lagu baru, jadi saya pun ceritakan kepada Hermond mengenai rancangan Hijjaz, dan secara kebetulan pula Universal Music adalah pemegang hak cipta lagu-lagu Tan Sri P Ramlee, jadi proses kami menjadi mudah.
“Saya juga beritahu pada Hermond saya ingin mencari penyanyi rap untuk berkolaborasi dalam lagu ini. Mereka mencadangkan supaya kami bekerjasama dengan Kmy Kmo dan Luca Sickta, kebetulan pula saya memang mengagumi duo berkenaan.
”Mereka bukan saja berbakat menyanyi rap dengan baik, malah lirik yang mereka hasilkan juga bagus. Jadi Hijjaz terus bersetuju dan meminta mereka hasilkan lirik untuk bahagian rap pada lagu TKSB 2020,” kata Isman.
Bagi mencipta variasi kepada lagu berkenaan juga kata Isman, mereka mengundang bekas peserta Mentor, Pasya kerana kehebatannya mendendangkan lagu rock. Selain menarik peminat nasyid semata-mata, Hijjaz juga mahu melihat gabungan bersama penyanyi rap dan rock itu mampu menarik lebih ramai peminat dari genre muzik berbeza.
Biarpun kali pertama bergabung, Isman menjelaskan mereka tidak menghadapi sebarang masalah untuk mencipta keserasian. Katanya, proses rakaman dan juga penggambaran muzik video berjaya disiapkan dalam tempoh tidak sampai lima jam.
“Alhamdulillah proses rakaman dan penggambaran muzik video berjalan dengan sangat lancar. Kami masuk ke studio kira-kira pukul 2 petang, sebelum magrib semuanya selesai malah kami sempat berhenti sembahyang Jemaah Asar bersama.
”Saya seronok bekerja dengan mereka, mereka sangat baik dan mereka berjaya berikan apa yang Hijjaz mahukan. Pada sesi rakaman juga, kami sempat mengajar Pasya berqasidah kerana dia dan Munif tampil sebagai penyanyi solo untuk lagu lagu itu, jadi perlu berqasidah.”
“Pada mulanya kami berhasrat mengundang Azlan dari kumpulan Azlan & The Typewriter, tetapi memandangkan dia sibuk. Jadi hasrat itu tidak kesampaian dan kebetulan pula ketika Pasya menyertai Mentor, saya ada mengikuti persembahannya dan memang tertarik dengan bakatnya. Jadi kami rasa dia paling tepat untuk menggantikan Azlan,” kata Isman lagi.
Sementara itu Hijjaz yang sebelum ini pernah popular melalui lagu Sumayyah tidak kisah sekiranya ada yang mempertikaikan tindakkan mereka mengambil jalan mudah dengan mengambil lagu Seniman Agong itu yang diberikan nafas baru.
Menurut Isman, dia tidak menafikan sudah sekian lama tidak tampil dengan produk terbaru, tentunya mereka mahukan sebuah lagu yang mudah diterima dan mesra di telinga pendengar. Lagipun katanya, ia bukanlah satu kesalahan apatah lagi lagu itu juga dapat memberi manfaat kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee juga.
“Kami sudah lama tidak tampil dengan single terbaru. Lagipun bila difikir-fikirkan kembali, lagu baru mungkin memakan masa sedikit untuk diterima. Dalam keadaan sekarang, ramai penyanyi tidak menghasilkan album lagi tetapi rata-rata memilih tampil dengan single. Apabila tampil dengan single, lagu itu perlulah ada faktor ‘wow’.
“Jadi kami memang kami tidak nafikan, antara salah satu sebab kenapa kami pilih lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee kerana lagunya memang sudah melekat di hati kebanyakkan daripada kita. Malah ketika kami perdengarkan lagu itu kepada golongan yang lebih berusia, ramai yang suka malah ada yang sehingga mengalirkan air mata,” ujarnya.
Isman menambah, pihaknya idak kisah sekiranya ada yang mempertikaikan tindakan mereka itu kerana tidak melakukan kesalahan pun, sebaliknya hanya ingin mengajak peminat untuk bersama-sama berselawat.
“Kami juga sebenarnya cuba membawa kelainan, kami tidak mahu nasyid berada pada takuk sama sebab itu kami berkolaborasi dengan penyanyi rock dan rap.
“Selepas ini kami merancang untuk menjalin lebih banyak kolaborasi mungkin dengan Joe Flizzow dan SonaOne pula supaya muzik nasyid akan lebih bersifat universal dan diterima semua lapisan masyarakat,” kata Isman.
TKSB 2020 sudah pun dilancarkan empat bulan lalu, namun disebabkan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) proses promosi lagu berkenaan tidak dapat dilakukan. Oleh itu, Hijjaz kini giat untuk mempromosikan lagu berkenaan supaya ia dapat dinikmati oleh lebih ramai pendengar.
Ia boleh didengar di semua platform penstriman muzik seperti Spotify, Apple,Music, Joox, Deezer dan KKBOX, manakala muzik videonya boleh ditonton melalui saluran YouTube Universal Music Malaysia. – MalaysiaGazette