KUALA LUMPUR – Penyanyi dan primadona filem tanah air, Erra Fazira memberi bayangan, dia tidak menolak untuk berkahwin lagi sekiranya bertemu jodoh dengan lelaki yang tepat.
Menurut Erra, 47, bagaimanapun, hasrat itu cuma dapat direalisasikan sekiranya puteri tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran,11, menyatakan persetujuannya.
“Saya mestilah okey sahaja kalau anak kata okey. Tapi kalau adalah jodohnya.
“Pernah sebelum ini saya usik Aleesya kalau saya nak kahwin lagi macam mana? Beberapa kali juga dia jawab tak payahlah.
“Saya harap dia cuma bergurau sajalah cakap begitu (tertawa),” katanya yang mula mencipta nama menerusi filem Sembilu pada tahun 1993.
Erra berkata demikian ketika ditemui dalam majlis perlantikannya bersama Wany Hasrita sebagai duta pelitup muka jenama Himaya di Hotel Shangri-La di ibu kota, semalam.
Erra Fazira pernah berkahwin dengan Yusry KRU pada 2003 dan Engku Emran pada 2007 sebelum bercerai pada 2014.
Minggu lalu, Engku Emran selamat mendirikan rumah tangga dengan kakak selebriti popular, Neelofa iaitu Noor Neelofa.
Sementara itu, kata Erra, seandainya dia ingin mendirikan rumah tangga sekali lagi, dia tidak menolak untuk memaklumkan perkara baik itu kepada semua pihak.
“Ada orang anggap berdiam itu lebih baik. Tetapi mungkin bagi saya, memaklumkan pada semua adalah lebih manis,” katanya yang pernah dua kali gagal dalam perkahwinan.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai respons Aleesya tentang kehadiran Nabila Mohd Noor sebagai ibu tirinya yang baru, Erra berkata anaknya itu gembira selain teruja mempunyai adik baharu.
“Dia selalu sangat minta nak jadi kakak. Jadi sekarang bila ada Jayden, saya boleh nampak dia sangat gembira dengan kehadiran adiknya itu.
“Di bibirnya selalu berbicara mengenai kebijaksanaan Jayden, dia kata adiknya itu ‘smart boy’. Aleesya nampaknya sangat sayangkan Jayden,” katanya yang juga popular dengan Yang Terindah Hanyalah Sementara dan Pertemuan. – MalaysiaGazette
Kalau xda yg sudi sy dgn besar hati menerima.