NIBONG TEBAL – Sebuah tapak bengkel kereta dijadikan sebagai stor pemindahan gas petroleum cecair bersubsidi ke silinder LPG industri digempur Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang hari ini.
Serbuan jam 5 pagi di Jalan Kampung Telok itu membawa kepada tangkapan seorang lelaki berusia 29 tahun yang sedang memindahkan 20 tong LPG bersubsidi 14 kilogram (kg) ke dalam silinder LPG industri 50kg.
Pengarah KPDNHEP Pulau Pinang, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, risikan selama dua bulan membawa kepada pembongkaran kegiatan haram suspek.
“Hasil siasatan mendapati suspek aktif melakukan kegiatan itu sejak enam bulan lalu dan hasil pemeriksaan di lokasi kita menemui 17 tong LPG bersubsidi masih berisi dan 16 tong yang telah kosong di stor tersebut.
“Dalam serbuan itu, kita juga merampas 24 unit paip hos yang dipercayai digunakan untuk memindahkan gas LPG bersubsidi ke tong LPG industri.
“Secara keseluruhan sebanyak 1.7 tan gas LPG dirampas gang dianggarkan bernilai RM21,000,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan di sini hari ini.
Turut dirampas sebuah lori yang digunakan untuk mengangkut gas LPG berkenaan.
Tambah Mohd Ridzuan, pihaknya memandang serius berhubung tindakan segelintir pihak yang mengaut keuntungan dengan menyeleweng barang bersubsidi.
“Tindakan ini merupakan satu pengkhianatan kepada negara kerana kerajaan memperuntukkan wang yang banyak untuk barang bersubsidi tetapi sindiket ambil jalan mudah bagi mengaut keuntungan,” ujar beliau.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan seseorang itu boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette