Home Nasional 54 individu dikompaun, ingkar SOP – Ismail Sabri

54 individu dikompaun, ingkar SOP – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR – Seramai 54 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang pemeriksaan Pasukan Petugas Operasi Pematuhan yang dijalankan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua individu yang ditahan itu tidak direman, sebaliknya hanya dikenakan tindakan kompaun.

“Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai PDRM telah membuat 67,974 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan atau merekod diri dan pelanggan sebanyak 21 kes dan tidak memakai pelitup muka (17).

“Turut dikompaun kerana rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (6), aktiviti pusat hiburan (5), tiada penjarakan fizikal (3), langgar perintah kuarantin (1) dan memasuki kawasan PKPD tanpa kebenaran (1),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Op Benteng yang dijalankan anggota keselamatan semalam telah menangkap 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas sebuah kapal serta 11 kenderaan darat.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 131 buah bot/kapal di perairan negara melalui lapan aktiviti penglihatan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette