Home Politik Muafakat Nasional lihat kepada senario semasa – UMNO

Muafakat Nasional lihat kepada senario semasa – UMNO

Gambar pertemuan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Tengku Razaleigh Hamzah dan Datuk Seri Najib Razak menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2020.

KUALA LUMPUR –  Hubungan UMNO dan Pas yang dimeterai menerusi Muafakat Nasional (MN) bergantung kepada senario semasa dan sebarang keputusan yang diambil berhubung kerjasama tersebut mestilah berpaksikan kepada suara UMNO.

Difahamkan itu antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dengan Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah dan Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak.

Gambar pertemuan yang berlangsung hari ini turut dikongsi oleh ketiga-tiga pemimpin UMNO itu di laman Facebook masing-masing.

Perihal Muafakat Nasional juga dijangka disentuh oleh para perwakilan Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang berlangsung hujung minggu ini.

Ia juga dijangka menjadi antara perkara yang akan dirumuskan dalam ucapan Presiden sekaligus memecahkan persoalan sejauh mana Muafakat Nasional dapat dipertahankan.

Ini berikutan pendirian Pas untuk terus bersama Perikatan Nasional manakala UMNO meletakkan noktah apabila Parlimen dibubarkan kelak.

Menurut hantaran di Facebook Najib, selain Muafakat Nasional, pertemuan ketiga-tiga pemimpin itu juga membincangkan mengenai UMNO merupakan suara akar umbi, justeru parti itu mesti tegas mendengar dan melaksanakan amanah akar umbi tanpa sebarang kompromi.

Hantaran Najib itu merujuk kepada pautan UMNO Online berhubung pertemuan tersebut.

Turut dibincangkan mengenai Perhimpunan Agung UMNO sebagai platform terbaik untuk memperkukuhkan parti dan meneruskan kesinambungan solidariti dalam kalangan ahli serta pimpinan pelbagai peringkat.

Selain itu, keadaan ekonomi yang tidak menentu memberi impak kepada negara dan ia jelas dilihat apabila syarikat teknologi IBM akan menutup Pusat Penyampaian Global di Cyberjaya pada 31 Mei ini.

Turut dibincangkan ketiga-tiga pemimpin adalah soal hutang negara yang melebihi 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar.

Perhimpunan Agung UMNO 2020 mencatat sejarah tersendiri kerana pertama kalinya akan diadakan secara kombinasi bersemuka dan maya berikutan pandemik COvid-19.

Ia akan diadakan secara bersemuka di Dewan Merdeka, PWTC dan secara maya di 190 UMNO Bahagian-bahagian. – MalaysiaGazette

 

1 Komen

  1. Jadi penasihat BN selepas pelingkop UMNO.
    Bukti jelas PRU13 hilang majoriti ⅔, PRU14 pula hilang kerajaan.. Itu sudah cukup utk umno sedar diri tk perlu lagi letak najib dimana-mana posisi dlm parti.
    Jho Low bodoh pun boleh perbodohkan dia. PM apa mcmtu senang² ja diperbodohkan org..
    Yg si pengerusi penasihat umno tu plak jenis tk sedaq diri jgk.. Dia yg jadi pelacur, tuduh PAS plak. Tubuh parti S46 nk lawan madey, akhirnya menyembah madey balik..

Comments are closed.