Home Utama Undi18 boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 – SPR

Undi18 boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 – SPR

Abdul Ghani Salleh

KUALA LUMPUR – Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 September 2022 ekoran perkembangan dan situasi semasa negara yang masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) komited dengan pelaksanaan Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18 seperti yang telah diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.

Bahkan, SPR menjelaskan persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya termasuklah gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta persiapanpersiapan lain yang berkaitan dengannya.

”Walau bagaimanapun, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

”Ini secara langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR,” katanya dalam kenyataan di sini.

Berdasarkan kepada rekod terkini SPR, jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang.

Daripada jumlah tersebut, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun hanya seramai 1.2 juta orang manakala 4.4 juta orang adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, yang mana telah pun layak tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih.

Justeru, SPR menyeru rakyat Malaysia yang berusia 21 tahun dan ke atas ini untuk segera mendaftar sebagai pemilih secara
dalam talian melalui mysprdaftar.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri atau Pejabat Pos yang berdekatan.

SPR akan melancarkan sistem semakan pra-pendaftaran automatik melalui Portal SPR pada bulan Ogos 2021, bagi
membolehkan 5.6 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka.

Malah, SPR juga sedang menyediakan satu laporan interim berhubung Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi18.
Laporan ini dijangka akan dikeluarkan pada bulan September 2021. – MalaysiaGazette