KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) awal semasa Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak didaftarkan.
Ini kerana, bendera dan sepanduk sudah ditempah dan agihan kawasan antara Bersatu, Pas dan UMNO sudah dirunding.
Meskipun begitu, menurut beliau, Muhyiddin kini berdepan dengan satu masalah belum diselesai iaitu berharap tidak ada parti lawan yang akan bertanding supaya Perikatan Nasional (PN) akan menang tanpa bertanding, dakwa bekas perdana menteri itu.
Berikutan itu, dakwa beliau, Muhyiddin menentukan supaya parti musuh tidak akan didaftar – bermula dengan Pejuang.
Pengerusi Pejuang itu turut mendakwa, jika Pejuang tidak didaftar maka parti ini tidak akan dapat bertanding sebagai Parti Pejuang, oleh itu mungkin calon Pejuang terpaksa bertanding sebagai calon bebas.
”Jika ini berlaku maka calon-calon bebas ini tidak dapat menggunakan simbol dan bendera Pejuang bagi mengelirukan pengundi,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Bagaimanapun, katanya, Pejuang mungkin bertanding dengan nama parti lain seperti Bersatu yang terpaksa menggunakan simbol dan bendera PKR pada pilihan raya umum lalu tetapi cara ini juga boleh kelirukan pengundi.
Jika dicuba, PKR mungkin tidak setuju memberi banyak kawasan kepada Pejuang, maka sokongan juga mungkin tidak diberi, lalu akan kalahlah Pejuang.
Dr Mahathir berkata, pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Datuk Seri Najib Razak membatal pendaftaran Bersatu dan tidak mendaftar Pakatan Harapan (PH).
Maka parti-parti pembangkang terpaksa bertanding atas nama PKR, guna simbol dan bendera PKR.
Percubaan Najib ini dapat ditangani oleh parti-parti lawan dengan bertanding sebagai parti PKR dan berjaya mendapat sokongan untuk menewaskan Barisan Nasional.
Tetapi kini, katanya, Bersatu sudah jadi parti berbilang kaum dan tidak mungkin menang banyak.
”Dengan itu, parti Perikatan Nasional dan BN dan Muafakat akan pilih orang lain sebagai perdana menteri. UMNO dan Pas memberi jawatan PM kepada Muhyiddin dahulu kerana mereka hanya boleh jadi gabungan majoriti jika Bersatu keluar dari PH dan menyertai Muafakat.
Yang mencukupi bilangan ialah Azmin dengan paksinya dari PKR. Secara tidak langsung Azmin diberi jawatan tertinggi tetapi bukan timbalan perdana menteri,” ujarnya sambil menyifatkan keadaan politik selepas PRU-15 tidak mungkin berbeza dari sekarang.
Tetapi, kata Dr Mahathir, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tidak akan menjadi perdana menteri dan Pejuang juga tidak mungkin jadi kerajaan.
Meskipun begitu, sokongan Pejuang akan menentukan gabungan mana yang akan menjadi kerajaan.
Namun, katanya, sokongan Pejuang bersyarat jika parti itu diterima. – MalaysiaGazette
Calon2 Pejuang dan Muda dijangkakan akan KALAH didalam semua pertandingan, bagaimana mahu jadi penentu?