Home Sukan Kuching City belum panik – Kapten

Kuching City belum panik – Kapten

Foto Facebook Kuching City FC.

KUALA LUMPUR – Kapten Kuching City FC, Joseph Kalang Tie mahu rakan sepasukan terus pandang ke hadapan untuk memastikan pasukan tidak lagi tercicir mata selepas mereka mula mendapat keyakinan dengan kemenangan pertama yang diraih dalam aksi Liga Premier 2021, Sabtu lalu.

Meskipun pasukan kini berada di tangga kelapan dengan dua kekalahan, satu seri dan satu kemenangan, Joseph menganggap belum tiba masa untuk menekan butang panik sebaliknya merasakan prestasi mereka akan lebih konsisten sebaik sahaja liga kembali bersambung pada 2 April depan.

Tidak menolak momentum skuad kendalian Irfan Bakti ini bermula agak perlahan pada awal musim, bekas pemain Selangor ini bagaimanapun percaya barisan pemain sudah mula menonjolkan peningkatan positif baik daripada aspek penyesuaian diri dan persefahaman antara satu sama lain terutamanya ketika menang 2-1 ke atas PDRM FC tempoh hari.

“Bagi saya, belum masanya untuk kita berasa panik dengan pencapaian sekarang kerana kalau kita tengok graf prestasi pasukan ketika ini, kami sudah mula untuk meningkat secara perlahan.

“Memang awal-awal hari itu agak getir untuk mendapatkan momentum, tetapi sekarang saya dapat lihat semua rakan sepasukan semakin menunjukkan penambaikan lebih 100 peratus.

“Lepas liga kembali bersambung bulan depan, kami memang akan fokus perlawanan demi perlawanan untuk mengutip mata sebanyak yang mampu dan paling penting dapat perbaiki kedudukan liga dengan lebih baik,” jelasnya kepada Liga Bola Sepak Malaysia.

Berbaki lebih kurang seminggu sahaja lagi untuk berdepan aksi kelima Liga Premier, Joseph menyifatkan pertembungan dengan Negeri Sembilan FC selaku pendahulu liga akan menjadi pertarungan yang cukup sukar.

Justeru, mereka ingin memastikan setiap kelemahan yang ada baik daripada aspek serangan dan pertahanan dapat diasah segera dan akan dinilai kembali dalam perlawanan persahabatan yang masih dalam perancangan untuk diadakan minggu ini.

“Negeri Sembilan sekarang memang dalam kedudukan yang selesa dan kita tidak boleh fokus terhadap satu benda sahaja, tetapi perlu tengok semula setiap kelemahan daripada setiap bahagian agar tidak mudah bolos.

“Sekarang Irfan sudah menyediakan pelbagai perancangan dalam latihan dan kita juga ada merancang untuk mengadakan aksi persahabatan, tetapi masih dalam perbincangan kerana perlu tengok situasi ketika ini macam mana.

“Cuma apa yang mencabar sekarang adalah apabila kami sudah lama tidak balik ke kampung halaman selepas berpangkalan di Semenanjung Malaysia sejak daripada awal musim, dan ini memang satu pengalaman baharu apabila tiada langsung aksi kami selaku tuan rumah,” tambahnya.

Aksi Liga Premier 2021 akan kembali bersambung pada 2 April depan yang menyaksikan perlawanan antara Perak FC II dan Selangor FC 2 akan berlangsung manakala baki tiga perlawanan akan diadakan pada 3 April dan satu lagi perlawanan pada 4 April ini. – MalaysiaGazette