KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Don Daniyal mendoakan selebriti terkenal, Neelofa menjadi isteri solehah kepada Haris Ismail, sekali gus memberi bayangan wanita itu bakal menamatkan zaman bujang pada hujung minggu ini,
Ucapan positif tersebut ditulisnya dalam satu entri terbaharunya selesai menjalani pengambaran sebuah program terbaharu NtoN bersama Neelofa dan Nabil hari ini.
Menerusi tulisannya, Ustaz Don mendoakan Neelofa dan Haris yang dikenali PU Riz disatukan dalam satu majlis yang penuh keberkatan.
“Untuk Neelofa, saya doakan untuk hari mendatang, agar disatukan dalam keberkatan, dihimpunkan dengan orang baik.
“Diberi pilihan itu pilihan yang baik. Semoga Neelofa menjadi isteri solehah dan kepada Haris jaga perhiasan dunia yang baik Allah SWT beri ini,” tulisnya.
Menerusi perkongsian tersebut, Ustaz Don turut memuat naik dua keping gambar dia bersama Neelofa dan Nabil Ahmad.
Sehingga hari ini, Neelofa, 32, menjadi perhatian seluruh rakyat Malaysia kerana ramai yang ternanti-nanti pengumuman tentang tarikh pernikahannya.
Hari ini, media melaporkan jari pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu sudah berinai seperti yang terlihat dalam InstaStorynya. – MalaysiaGazette