KUALA LUMPUR – Syarikat penerbangan Charter Eaglexpress sehingga hari ini didakwa masih gagal membayar gaji dan elaun para pekerjanya.
Sehubungan itu, Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mempersoalkan apakah bentuk tindakan yang telah diambil oleh Jabatan Buruh terhadap syarikat penerbangan berkenaan.
NUFAM berkata, masalah pembayaran gaji itu masih gagal ditangani kerana tiada siapa yang ingin mengambil tindakan terhadap syarikat tèrsebut.
Kesatuan itu berkata, para pekerja Eaglexpress telah mengadu kepada NUFAM dan ada di antara mereka telah mendapat perintah Mahkamah Buruh menyatakan majikan diarahkan bayar gaji, elaun serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.
Namun, para pekerja memaklumkan pengurusan Eaglexpress masih buat tak tahu.
“Dan, situasi ini sama sekali menampakkan betapa lemahnya sistem buruh sedia ada. Pihak pengurusan syarikat menolak arahan surat dari Mahkamah Buruh.
“Majikan boleh lepas tangan tanpa tindakan keras terhadap mereka.
“Keadaan ini menunjukkan betapa pihak majikan boleh tidak mengendahkan arahan mahkamah,” kata NUFAM dalam kenyataan di sini.
NUFAM mendakwa, syarikat penerbangan itu didakwa lepas tangan sejak mengeluarkan surat kepada semua pekerja dengan memaklumkan mereka boleh mengambil cuti sementara waktu pada bulan Februari tetapi sehingga hari ini mereka masih lagi gagal mendapat sebarang tuntutan yang dibuat.
“Syarikat penerbangan itu berjanji akan membayar gaji pada bulan Mei tetapi lepas Hari Raya mereka masih senyap. Tiada apa apa komen dikeluarkan oleh pihak pengurusan selepas pekerja semua dilepaskan.
“Eaglexpress sama sekali telah melanggar Akta Buruh tetapi yang peliknya pejabat di KLIA mereka masih beroperasi seperti biasa,” kata NUFAM.
Lantaran itu, NUFAM mengesa pihak Jabatan Buruh mengambil tindakan serius terhadap mana-mana pihak pengurusan syarikat penerbangan yang gagal mematuhi Undang-Undang Buruh.
Katanya, jika pihak pengurusan Eaglexpress gagal membayar gaji pekerja, tindakan seperti menyita harta benda syarikat dan proses untuk membayar balik semua hutang gaji pekerja hendaklah dilunaskan segera.
MalaysiaGazette gagal mendapatkan pengurusan Eaglexpress untuk mengulas dakwaan tersebut. – MalaysiaGazette