Home Nasional Pasangan suami isteri rentung treler terbabas, terbakar

Pasangan suami isteri rentung treler terbabas, terbakar

Mayat Molok dan isteri, Rosana ditemukan dalam keadaan rentung

KUALA LUMPUR – Anggota Bomba dan Penyelamat Semenyih mengambil masa kira-kira empat setengah jam untuk membawa naik sebuah treler yang hangus terbakar, sebelum menjumpai pemandunya yang sudah mati rentung.

Selang beberapa minit kemudian, satu lagi mayat, dipercayai isteri kepada pemandu terbabit turut ditemukan, juga dalam keadaan rentung.

Mayat kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Molok Zainal Abidin, 51, berasal dari Dengkil, Selangor dan Rosana Bahtiar, 20, dari Raub, Pahang.

Mayat mangsa kemalangan itu kemudian dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Anggota Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran di bahagian muatan konkrit piling
Anggota Bomba dan Penyelamat memadamkan kebakaran di bahagian muatan konkrit piling

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Superintendan Sabri Abdullah, treler yang membawa muatan cerucuk konkrit dipandu Molok dipercayai terbabas, sebelum terbakar.

Katanya, kejadian di KM8.8 Lebuhraya Lekas Beranang arah Kajang itu berlaku kira-kira jam 11.50 pagi, semalam.

“Kita menerima makluman daripada anggota Bomba dan Penyelamat yang bergegas ke tempat kejadian bahawa mereka menemukan dua mayat sudah rentung di bahagian pemandu dan tempat penumpang sebelah memandu.

“Kita percaya kedua-duanya adalah suami isteri dan kejadian pula dikatakan berpunca dari kegagalan pemandu mengawal treler yang terbabas ke bahu jalan sebelah kiri lebuh raya itu sebelum terbakar,” katanya di sini, semalam.

Anggota Bomba dan Penyelamat memotong bahagian depan treler untuk mengeluarkan mayat mangsa
Anggota Bomba dan Penyelamat memotong bahagian depan treler untuk mengeluarkan mayat mangsa

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat Semenyih berkata, kejadian itu menyebabkan muatan cerucuk konkrit menggelongsor ke hadapan dan menembusi kepala treler.

“Treler kemudian terbakar dan kedua-dua mangsa yang dipercayai cedera parah dan terperangkap, hangus dalam kejadian itu.

“Bahagian hadapan (kepala) treler hangus kira-kira 90 peratus dan ketika kejadian, cuaca cerah serta tidak hujan, manakala trafik pula tidak sibuk.

“Kawasan kejadian adalah jalan lurus dan mempunyai penghadang jalan di kiri kanannya serta penghadang tengah,” katanya.

Kata jurucakap itu, mayat pertama yang dikenali sebagai Molok hanya dapat dikeluarkan pada jam 4.19 petang dengan bantuan sebuah kren.

“Beberapa minit kemudian, kita menemukan pula mayat seorang wanita yang juga telah rentung ketika kerja pemotongan kerangka kepala treler,” katanya. – MalaysiaGazette