KEMAMAN – Bukan sahaja dilambung ombak besar hingga alami keletihan melampau, tetapi juga hanya berpeluang makan sedikit ikan yang dipancing untuk mengalas perut dan mencatu bekalan air minuman yang sudah semakin habis.
Itu antara pengalaman pahit yang dikongsi oleh enam pemancing dari Kemaman selama empat hari bertarung nyawa setelah bot dinaiki rosak, menyebabkan mereka hanyut dibawa arus sehingga 50 batu nautika dari utara Pulau Tioman, Pahang.
Tekong bot, Mohd Hafizrul Hisham Zakaria, 29, berkata mereka memulakan perjalanan ke tengah laut pada pukul 4.00 petang Isnin lepas sebelum kipas bot terjatuh pada pukul 8.00 malam.
“Ketika itu, kedudukan kita kira-kira 20 batu nautika dari Kuala Kemaman dan belum sampai pun ke destinasi yang hendak dituju untuk memancing. Kemudian, kita letak sauh dan tidur semalaman di atas bot. Esoknya, barulah kita hanyutkan bot dengan harapan dapat berjumpa dengan bot nelayan yang lain.
“Cuaca memang sangat teruk, ribut berlaku siang dan malam. Ada juga ternampak sebuah bot tapi jeritan kami tidak didengari mungkin sebab jarak yang jauh. Sepanjang tempoh itu, hanya ikan yang dipancing jadi pengalas perut.
“Tak dapat bayangkan apa yang akan jadi sekiranya kami tidak ditemui hari ini kerana bekalan minyak, makanan, air minuman semua habis,” katanya yang mengakui itu kejadian pertama paling menakutkan sejak menjadi nelayan dari usia belasan tahun.
Selain Mohd Hafizrul Hisham, lima lagi pemancing ialah Mohamad Shahrul Ainmie Abdullah, 19; Mohd Samerin Suhaimi, 29, Muhammed Hazim Luqman Zakaria, 19, Rosidi Mohamad, 22, dan Mohamad Zukarnain Mohamat Nor, 20.
Kesemua mereka pergi memancing pada petang Isnin dan dijadualkan pulang pada keesokannya (Selasa), namun kesemua mereka gagal dihubungi menyebabkan ahli keluarga membuat laporan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada Selasa dan Ops SAR terus dilancarkan sejurus selepas itu.
Suasana sedih dan sayu dengan tangisan kegembiraan menyelubungi perkarangan jeti Kuala Kemaman sebaik sahaja keenam-enam pemancing itu bertemu kembali dengan keluarga mereka lewat petang ini.
Sementara itu, Rosidi berkata kesemua mereka memang memakai jaket keselamatan sebagai persediaan sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini memandangkan dia tidak begitu mahir berenang.
Lebih mencemaskan, apabila bot yang dinaiki juga bocor menyebabkan mereka terpaksa bergilir-gilir memastikan enjin bot sentiasa hidup dan air yang masuk ke dalam bot dapat disalur keluar kembali menggunakan mesin.
Muhamad Hazim Luqman berkata setiap kali ternampak bot nelayan berdekatan, mereka akan melakukan pelbagai ikhtiar untuk meminta pertolongan namun hanya sia-sia kerana cuaca buruk menyebabkan bot-bot tersebut tidak menyedari kewujudan mereka.
“Kita pun faham tak ramai nelayan yang turun ke laut dalam cuaca buruk seperti itu. Namun tetap berusaha untuk bertahan dengan sumber makanan dan minuman yang ada dengan harapan kami dapat diselamatkan.
“Alhamdulillah, akhirnya semalam ada bot nelayan yang jumpa kami dan minta kami bersauh di kawasan tersebut sebelum bot kawan mereka datang membantu serta memberi bekalan makanan dan minuman untuk memulihkan tenaga,” katanya yang turut berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi pencarian mereka.- BERNAMA
Baru betul berpuasa 4 hari siangnya, kan?