Home Politik Pas lebih bermanfaat jika bersama BN – Tok Mad

Pas lebih bermanfaat jika bersama BN – Tok Mad

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto AFFAN FAUZI, 27 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata keputusan terletak kepada tangan parti Pas sama ada untuk terus bermuafakat dengan Barisan Nasional (BN) atau bersama-sama dalam Perikatan Nasional (PN).

Bagaimanapun, menurutnya, parti Islam itu dilihat memperoleh lebih banyak kelebihan sekiranya memilih untuk bekerjasama dengan UMNO dan BN berbanding PN.

“Pas mempunyai lebih bermanfaat jika mereka bersama BN. Kalau Pas bersama kita maka di kawasan majoriti Melayu kita rasakan mereka akan selamat.

“Tetapi kalau bukan dengan BN, kita terpaksa berdepan semula dan tidak tentu lagi apa keputusan.

“Kalau boleh UMNO mahu Pas bersama dengan kita dalam MN. Itu bukan keputusan kita, ia lebih kepada keputusan Pas sendiri,” katanya dalam sidang media selepas ucapan perasmian perhimpunan agung sayap-sayap Pemuda, Wanita, dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, sekiranya Pas tidak bersama dengan BN pada Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU-15) maka pertembungan dengan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu tidak dapat dielak.

“Kalau (Pas) bukan dengan BN, kita terpaksa berdepan semula dan tidak tentu lagi apa keputusan. Kalau boleh UMNO mahu Pas bersama dengan kita dalam MN. Itu bukan keputusan kita, ia lebih kepada keputusan Pas sendiri.

“Pas yang akan tentukan bersama kita atau tak. Tapi di pihak UMNO, kita mahu lihat Pas bersama kita,” katanya.

Ditanya mengenai usaha Pas dalam menyatukan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohamad berkata, ia seakan sukar untuk dicapai.

“Cubalah damaikan…kita tengok, kita nak dengar juga apa formulanya,” kata Mohamad lagi.

Semalam, Abdul Hadi tetap tegas dengan bahawa Pas berpendirian mahu memperkukuh kerjasama dalam PN dan MN walaupun UMNO dilaporkan bersedia untuk bergerak secara solo pada PRU15 kelak. – MalaysiaGazette