Home Utama FIC: Empat individu dipanggil

FIC: Empat individu dipanggil

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil empat individu untuk dirakamkan keterangan berhubung kes pembelian hotel bernilai RM330 juta di London oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Setakat ini, dua daripadanya telah hadir ke ibu pejabat SPRM di sini pagi tadi.

Mereka adalah Pengarah FIC, Datuk Nik Azman Mohamed Zain dan seorang wanita yang dikenali sebagai Siti Salwani Mohamed Salleh.

“Ada empat orang yang dipangggil setakat ini dan dua daripadanya telah hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya pagi tadi untuk diberi keterangan manakala dua lagi masih belum tiba,” kata sumber kepada MalaysiaGazette.

Menurut beliau, kedua-dua Nik Azman dan Siti Salwani tiba ke ibu pejabat SPRM secara berasingan.

Ini susulan tindakan lapan pegawai SPRM yang menyerbu pejabat FIC SEMALAM selepas kertas siasatan pembelian hotel empat bintang di Kensington itu dibuka semula oleh Ketua Suruhanjaya SPRM, Datuk Dzulkifly Ahmad selepas menemui bukti-bukti baharu.

Pegawai-pegawai SPRM menghabiskan masa kira-kira lapan jam untuk melakukan siasatan di pejabat FIC dan beredar sekitar jam 6 petang dengan membawa tiga kotak dan dua bagasi yang dipercayai berisi dokumen anak syarikat Felda itu.

Pada akhir Februari tahun lepas, satu kertas siasatan berhubung pembelian hotel berkenaan telah dibuka dan beberapa individu termasuk anak bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad telah dipanggil untuk memberi keterangan.

Bagaimanapun kes tersebut tidak diteruskan kerana dipercayai tidak mempunyai sebarang bukti salah laku.-MalaysiaGazette