Home Nasional MH17: Waris mangsa cadang dirikan memorial

MH17: Waris mangsa cadang dirikan memorial

Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan sedang mengkaji cadangan ahli-ahli keluarga mangsa pesawat MH17 yang mahu membina sebuah memorial seperti yang diwujudkan di Amsterdam, Belanda bagi memperingati pemergian orang yang disayangi.

Menterinya Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pihaknya telah berdialog dengan ahli keluarga dan pelbagai pihak berkepentingan sebelum membuat keputusan.

 

“Di Malaysia belum ada sebarang cadangan mewujudkan memorial tetapi kita juga menerima cadangan dari pelbagai pihak yang terlibat dalam insiden secara langsung dan tidak langsung.

“Ada yang setuju dengan (memorial) itu, dan ada yang tidak setuju kerana ia bersangkut paut dengan memorial untuk mangsa MH370,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran lukisan mural 77 pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di laluan pejalan kaki bawah tanah Stesen LRT Ampang Park hari ini.

Pada 17 Julai 2014 pesawat MH17 yang membawa 298 penumpang, termasuk anak kapal, ditembak jatuh di Donetsk, Ukraine.

Tambah Presiden MCA itu, beliau juga bersama ahli keluarga mangsa MH17 dalam satu majlis memperingati insiden itu pada 13 Julai lalu di Putrajaya. – MalaysiaGazette