Home Nasional Azmin buat kenyataan janggal mengenai Undi18 – Shahril

Azmin buat kenyataan janggal mengenai Undi18 – Shahril

Shahril Sufian Hamdan

KUALA LUMPUR – UMNO berpendapat kenyataan Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung penangguhan Undi 18 tahun oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah sesuatu yang janggal.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, ia jelas bertentangan dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Hal Ehwal Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang pernah memberitahu pelaksanaannya akan dilaksanakan selewat-lewatnya Julai tahun ini.

“Saya nampak kenyataan itu sangat janggal kerana ia bukan kenyataan yang boleh justifikasi sedangkan tak jelas ramai pemimpin kerajaan yang kata Undi18 dilaksanakan Julai depan.

“Bila dia (Mohamed Azmin) tak sebut janji (kerajaan) saya rasa secara faktanya salah. Saya tak pasti sebab apa dia keluarkan kenyataan tersebut,” katanya ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU2020) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan semalam berkata, kelayakan Undi18 masih perlu melalui proses panjang untuk dilaksanakan kerana ada beberapa pindaan dalam peruntukan undang-undang berkaitan pilihan raya yang perlu dipenuhi dan dipatuhi.

Malah katanya, pindaan terbabit perlu digazetkan bukan hanya pada peringkat Persekutuan tetapi juga di negeri-negeri.

Pada Khamis lalu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, memaklumkan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik hanya dapat dilaksanakan selepas 1 September tahun depan.

Abdul Ghani turut berkata penangguhan itu disebabkan beberapa kekangan dihadapi SPR dalam melaksanakan perancangan dan persiapan awal bagi melaksanakan kedua-dua perkara terbabit berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – MalaysiaGazette