SEOUL – Imej satelit memaparkan sebuah limbungan kapal di Korea Utara mengesan aktiviti mencurigakan yang mencadangkan negara itu mungkin telah bersedia untuk melancarkan peluru berpandu balistik baharu dari kapal selam pada masa depan, menurut laman sesawang yang memantau negara komunis tersebut.
Laman sesawang, 38 North, melaporkan bahawa imej satelit komersial menunjukkan limbungan kapal Sinpo Utara di pantai timur dengan limbungan kering terapung, yang kebiasaannya ditambat berhampiran dermaga, baru baru ini ditempatkan semula di sepanjang jeti kemudahan pembinaan kapal selam.
Menyedari keadaan itu tidak normal, menurut laman sesawang tersebut, ia menunjukkan ‘peluru berpandu balistik kapal selam baharu yang sedang dibuat dalam tempoh beberapa tahun mungkin hampir siap dan bersedia untuk dilancarkan pada masa depan’, lapor agensi berita, Yonhap.
Berkemungkinan limbungan kering berada di situ untuk pelarasan penjajaran rel dengan jeti, memandangkan tiada kapal selam dilihat untuk melancarkannya dari lokasi ketika ini, tambahnya.
Korea Utara telah membina kapal selam baharu, dipercayai seberat 3,000 tan, yang mampu membawa tiga peluru berpandu balistik kapal selam (SLBM).
Pyongyang mendedahkan aset itu buat pertama kali pada Julai 2019.
Korea Utara dipercayai mempunyai 70 buah kapal selam, termasuk kelas Romeo seberat 1,800 tan. Bagaimanapun kebanyakannya ketinggalan zaman. – MalaysiaGazette