KUALA LUMPUR – Ahli-ahli UMNO perlu menjadi “seikat lidi” yang mampu menyapu kotoran bagi menghapus persepsi negatif terhadap parti.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, perkara itu penting kerana usaha untuk memecah-belahkan UMNO dari luar masih belum berhenti.
Katanya, adalah amat dibimbangi jika ahli UMNO terlalu meraikan perbezaan pendapat sehingga boleh membuka ruang perpecahan dalam kalangan ahli-ahli parti.
“Syabas saya ucapkan kepada akar umbi dan kepimpinannya yang tidak pernah goyah, walaupun ada kocakan di bumbung kepimpinan.
“Kita tahu, adanya pelbagai tawaran jawatan, pembelian pengaruh dan ugutan di peringkat cawangan, namun, mereka tetap istiqamah, tetap teguh berada dalam UMNO,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Ahmad Zahid berkata, akar tunjang itulah yang akan memastikan UMNO kukuh sebagai pohon subur bagi memayungi rakyat dan menjadi pengubat rindu parti ntuk memimpin kerajaan
semula.
Malah katanya, hampir kesemua 22,000 cawangan bersiap sedia untuk meredah medan pertempuran bagi memenangkan semula UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU-15) nanti.
Ujarnya, kesemua mereka telah bersedia untuk mengembalikan kegemilangan maruah UMNO yang pernah tersimbah dengan kehinaan akibat kekalahan lalu.
“Di peringkat bahagian, kepimpinan dan dukungan seluruh jajaran saf kepimpinan cukup kukuh. Biarpun terdapat sedikit keributan, ianya hanyalah ribut dalam cawan yang tidak melunturkan semangat kerja sepasukan dalam UMNO,” ujarnya.
Malah, di peringkat Perhubungan UMNO negeri juga, beliau mendapati kesatupaduan jelas terpancar, daripada lontaran pandangan semua Pengerusi-Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang turut dilibatkan dalam membuat keputusan parti di peringkat Biro Politik atau dalam Majlis Kerja Tertinggi.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menghargai pendirian Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang telah membuat pendirian mendukung institusi presiden dan menyokong keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang memutuskan hubungan dan kerjasama dengan Bersatu.
“Marilah kita kembali merapatkan barisan. Buang yang keruh, ambil yang jernih. Biduk telah berlalu, kiambang perlu kembali bertaut. Mari kita mengorak langkah ke hadapan. UMNO yang pernah terluka dalam PRU-14, perlu bangkit semula bak
harimau terluka mahu menerkam.
“Kita balut luka lama. Kita cari ubat untuk mengubati penyakit yang hinggap selama ini. Biarpun ubat itu pahit, namun kepahitan ubat itulah yang menjadikan ia mujarab untuk kesembuhan,” ujarnya. – MalaysiGazette