KUALA LUMPUR – Ahli UMNO wajar membuat penilaian sendiri terhadap hasrat parti itu untuk bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa berkata, penjelasan tersebut secara tidak langsung memberi gambaran jelas kepada semua ahli pada hari ini.
“Itu hak Presiden untuk memasukkan ke dalam ucapan dasar dan terserah kepada UMNO, perwakilan nak bertanding solo. Sekurang-kurangnya Presiden buat penjelasan nak bertanding solo.
“Sebelum ini kita tengok nak bekerjasama dengan itu dengan ini, sekarang Presiden buat penjelasan. Terpulang kepada ahli-ahli untuk buat penilaian,” katanya yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan Dasar Presiden pada Perhimpuan Agung parti itu berkata, UMNO mengambil pendirian untuk tidak bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP dan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Ujarnya, ini kerana parti itu berpegang teguh dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi. – MalaysiaGazette