Home Nasional “Darurat perlu dihentikan, jika tidak pelabur tak masuk” – Johari

“Darurat perlu dihentikan, jika tidak pelabur tak masuk” – Johari

Wakil pembahas Wilayah Persekutusan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada Sesi Perbahasan Ucapan Dasa Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MALAYSIA GAZETTE, 28 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Pemimpin-pemimpin UMNO yang memegang jawatan sebagai Menteri dan Timbalan Menteri perlu mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya menghentikan darurat serta-merta.

Ini kerana jika darurat tidak dihentikan, tidak akan ada pelabur yang akan melabur di negara ini, kata Wakil Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, pelabur tidak sesekali akan membawa duit mereka ke negara yang tidak mengamalkan sistem demokrasi dengan baik.

“Pasal mereka-mereka ini mengamalkan sistem demokrasi tahap 1.0. Tinggi tahap demokrasi mereka.

“Kalau mereka lihat negara itu tidak mengamalkan demokrasi yang sebaik mungkin dia tak akan bawa duit mereka ke sini. Sebab itu kita kena buat ini (desak henti darurat),” katanya yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Menurut Johari, kesemua sembilan orang Menteri dan lapan orang Timbalan Menteri yang berada dalam kerajaan tidak perlu meletak jawatan, sebaliknya mereka hanya perlu berbuat demikian.

Tambah beliau, negara perlu mempunyai arah tuju ekonomi kerana jika tidak ia memberi kesan buruk secara keseluruhan.

Dengan memberikan contoh pembentangan belanjawan oleh kerajaan lalu, Johari menemplak Rancangan Malaysia ke-12 yang tidak disertakan dalam pembentangan tersebut

“Bayangkan kita buat bajet yang lepas tapi rancangan Malaysia ke-12 kita tak buat.

“Rancangan Malaysia ke-11 dah habis. Sepatutnya kena buat rancangan Malaysia ke-12, susun lima startegi atau lebih daripada itu supaya pelabur-pelabur boleh tengok dokumen kita.

“Mereka tahu Malaysia punya strategi. Itulah yang akan menarik minat pelabur,” ujarnya. – MalaysiaGazette