Home Nasional Wan Rosdy dedah cubaan pujuk YB Cameron Highlands sertai Bersatu

Wan Rosdy dedah cubaan pujuk YB Cameron Highlands sertai Bersatu

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Pembahas dari Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail membuat kejutan apabila mendedahkan terdapat cubaan memujuk Ahli Parlimen Cameron Highlands, Ramli Mohd Nor untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menteri Besar Pahang itu berkata, beliau memiliki bukti kukuh untuk menyokong pendedahannya tersebut.

Katanya, parti tersebut menghantar wakil ke rumah untuk memujuk wakil rakyat itu supaya lompat parti.

“Sudahlah tidak ikhlas, main kotor pula. Saya ada bukti kukuh, mereka berusaha memujuk dan memikat Ahli Parlimen Cameron Highlands.

“Kita bertungkus-lumus di pilihan raya kecil menangkan beliau (Ramli). Tetapi mereka pula nak pikat, hantar khidmat pesanan ringkas hendak berjumpa dan mencadangkan sesuatu ajak berunding.

“Ahli Parlimen Cameron Highlands, ada di sini, tanyalah YB Cameron Highlands. Sampai mereka datang ke rumah, tapi usaha mereka gagal,” katanya yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO, Pahang.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Ramli yang merupakan bekas pegawai kanan Polis Diraja Malaysia mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam pilihan raya kecil (PRK) mewakili Barisan Nasional pada Januari 2019.

Beliau mencatat sejarah apabila menjadi wakil Orang Asli pertama di Dewan Rakyat.

Ramli mendapat 12,038 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada Pakatan Harapan, M Manogaran yang memperolehi 8,800 undi, manakala dua calon bebas, Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee masing-masing mendapat 314 undi serta 276 undi.

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, daripada sibuk untuk menjual beli ahli Parlimen adalah lebih baik kerajaan membubarkan Parlimen.

“Timbul isu Bersatu hendak letak lima calon Ahli Parlimen di Pahang, siapakah mereka untuk tentukan kerusi di Pahang?

“Sedangkan satu kerusi pun tak ada. Tidak berunding pula dengan UMNO. Mereka ini tiada keikhlasan dengan kita,” ujarnya. – MalaysiaGazette