Home Ekonomi Penyertaan tenaga buruh negara 68%

Penyertaan tenaga buruh negara 68%

KUALA LUMPUR – Kadar penyertaan tenaga buruh pada bulan Mei 2017 meningkat 0.1 mata peratus kepada 67.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh pada Mei 2017 meningkat 0.1 mata peratus berbanding Mei 2016.

Jabatan Statistik berkata, kadar pengangguran pada bulan Mei tahun ini tidak berubah pada 3.4 peratus berbanding bulan sebelumnya.

Perbandingan tahun ke tahun juga tiada menunjukkan perubahan.

Maklumat ini diperoleh daripada Penyiasatan Tenaga Buruh (PTB) yang dilaksanakan untuk mengumpul maklumat berkaitan struktur dan taburan tenaga buruh, guna tenaga dan pengangguran.

PTB meliputi kedua-dua kawasan bandar dan luar bandar bagi negeri-negeri di Malaysia melalui kaedah temu ramah dengan responden.

Populasi penyiasatan meliputi penduduk yang tinggal di tempat kediaman persendirian dan tidak termasuk mereka yang tinggal di institusi-institusi seperti hotel, asrama, hospital, penjara, rumah tumpangan dan pekerja yang tinggal di rumah kongsi.

Penyiasatan merangkumi penduduk yang aktif dan tidak aktif dalam ekonomi.

Bagi mengukur penduduk yang aktif dalam ekonomi, PTB menggunakan had umur 15 hingga 64 tahun. Penduduk yang aktif dalam ekonomi terdiri daripada mereka yang bekerja dan menganggur, manakala mereka yang tidak aktif dikelaskan sebagai berada di luar tenaga buruh. – MalaysiaGazette