KUALA LUMPUR – UMNO perlu mengambil kira situasi dan lanskap politik di Sabah bagi meneruskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO Sabah kini berada dalam satu gabungan besar yang dikenali Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Justeru jelas beliau, UMNO menghormati pendirian parti itu di negeri tersebut seperti dinyatakan Pengerusi Perhubungannya, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
“Situasi dan lanskap politik di Sabah agak istimewa kerana mereka berada dalam gabungan parti yang besar iaitu GRS.
“Maka apa yang nyata oleh Datuk Seri Bung Moktar sebagai Pengrusi UMNO Sabah adalah sesuatu yang jadi pendirian Sabah dan kita hormatinya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2020 di Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.
Ahmad Zahid diminta mengulas kenyataan Bung Moktar yang tetap akan meneruskan kerjasama dengan Bersatu dan mempertahankan Kerajaan GRS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah menyatakan pendirian tersebut biarpun Presiden UMNO itu mengumumkan pasrti berkenaan tidak akan bekerjasama dengan Bersatu pada PRU akan datang.
Beliau berkata, senario di Semenanjung berbeza dengan di Sabah kerana rakyat sebelum ini telah memberi mandat kepada GRS untuk membentuk kerajaan baharu di negeri berkenaan. – MalaysiaGazette