Home Pendapat Kawal diri sebar berita palsu

Kawal diri sebar berita palsu

BERITA palsu atau berita tidak benar atau ‘fake news’ boleh disifatkan sebagai sejenis virus yang tidak asing lagi pada masa kini. Jika diimbas kembali, ia bukanlah sesuatu yang baru,
malah telah berlaku sejak dahulu lagi. Berita seumpama ini lebih banyak memberikan impak negatif kepada masyarakat malah boleh memudaratkan walaupun jika hanya digunakan sebagai bahan gurauan.

Ia sebenarnya mencabar kredibiliti banyak pihak terutamanya berita-berita yang disampaikan oleh kerajaan dan pihak autoriti dan secara langsungnya, media tempatan. Namun, harus disedari, sumber berita pada hari ini tidak hanya datang dari agensi media yang diiktiraf, malah, sesiapa sahaja boleh menjadi penyampai informasi dalam dunia kewartawanan harini terutamanya dengan kewujudan sosial media serta rangkaian Internet yang tidak bersempadan.

Berita palsu ini tidak hanya boleh dipergunakan dalam hal-hal yang berkaitan dengan isu semasa seperti COVID-19 dan vaksin, darurat dan politik, malah ia juga kadangkala boleh mengancam perpaduan kaum terutamanya sesebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia. Ancaman seperti ini bukanlah satu perkara yang boleh dianggap remeh kerana ia tidak hanya boleh mengakibatkan perbalahan yang boleh menggugat keharmonian masyarakat setempat, tetapi juga memberikan persepsi atau tanggapan yang buruk kepada negara-negara luar.

Penyebaran berita palsu yang melibatkan individu pula mampu mengakibatkan mangsa hilang pekerjaan, hilang kepercayaan daripada ahli keluarga dan teman-teman serta hilang keyakinan diri apabila berdepan dengan orang di sekelilingnya yang mungkin boleh mendorong kepada depresi atau kemurungan, perpecahan rumah tangga dan juga tindakan jenayah.

Berita palsu yang melibatkan sesebuah agensi pula mungkin boleh menyebabkan kerugian yang besar atau penghentian operasi yang akan menjejaskan periuk nasi pekerja-pekerja
yang terkena tempias ekorang daripada berita tersebut.

Keadaan ini juga adalah bertentangan dengan ajaran agama seperti yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA di mana Rasulullah SAW telah bersabda; ‘Cukuplah seseorang dianggap
pendusta jika ia mengatakan setiap apa yang ia dengar.’ Hal ini sangat berkait rapat dengan perlunya tabayyun, yang bermaksud menyemak dengan berhati-hati terhadap sesuatu berita
yang disampaikan atau diterima.

Malangnya, masyarakat hari ini lebih gemar dikawal hanya melalui pelaksanaan undang-undang atau denda yang tinggi dalam memberi kesedaran atau mengelakkan daripada menyebarkan berita-berita seumpama ini.

Perlakuan yang tidak baik ini kadangkala tidak dilihat sensitif oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab yang kadangkala
boleh membawa ketakutan atau kerisauan melampau terutamanya seperti berita-berita berkaitan dengan vaksin COVID-19 yang sedang tular kini.

Menurut Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), pelaksanaan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (No.2) 2021 yang diwartakan baru-baru ini dilihat sebagai salah satu cara yang lebih pantas dalam menangani berita tidak benar berkaitan COVID-19 dan Proklamasi Darurat.

Dalam hal yang lain, kompaun yang dikenakan kepada mereka yang tidak mengikut undang-undang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini boleh mencecah kepada satu angka yang sangat besar.

Ini membuktikan betapa masyarakat Malaysia masih kurang atau rendah sifat kesedaran kendiri di mana ia merupakan permulaan yang paling penting dalam mengawal perlakuan diri sendiri.

Ini boleh dianggap sebagai salah satu cara yang bertentangan dengan konsep pendidikan bermula dari rumah apabila seseorang individu itu sendiri gagal dalam mengawal dirinya sendiri malah sebagai kesannya, ia menjadi contoh yang tidak baik kepada ahli
keluarganya yang lain.

Kesedaran kendiri sebenarnya merupakan kunci kepada semua tindak-tanduk yang dilakukan. Jika perlakuan diri dapat dikawal, perlakuan seperti menyebarkan berita palsu mungkin boleh dielakkan atau dihapuskan terus.

Tambahan pula dengan kewujudan kemudahan aplikasi-aplikasi ‘fact checker’ yang mudah diakses seperti sebenarnya.my
dapat membantu menyemak sama ada berita yang diterima adalah benar atau sebaliknya.

Ini termasuk dengan kempen-kempen kerajaan dalam membendung penyebaran berita seumpama ini yang tidak akan mendatangkan hasil melainkan usaha masyarakat memupuk
kesedaran kendiri dalam menjadi seorang individu dan rakyat yang bertanggungjawab.

Oleh: Dr. Safiyyah Ahmad Sabri
Pensyarah Kanan
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Universiti Sains Islam Malaysia
Nilai, Negeri Sembilan